Latihan pengungsian bangunan tingkat kesiapsiagaan kebakaran

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba memberikan taklimat tatacara penggunaan alat pemadam api kepada peserta dalam program keselamatan kebakaran di Pusat Dialisis NKF-BonusLink, Sarikei. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Pengetahuan mengenai tatacara pengungsian bangunan ketika kecemasan diberi penekanan kepada pekerja dan pesakit Pusat Dialisis NKF-BonusLink Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia menerusi program ceramah keselamatan kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling, berkata program selama dua jam yang bermula 8.30 pagi hingga 10.30 pagi itu melibatkan lapan pekerja dan lima pesakit.

Katanya, dua anggota bomba terlibat dalam program berkenaan yang merangkumi beberapa pengisian berkaitan pencegahan serta tindakan ketika berdepan kecemasan kebakaran.

“Antara pengisian program ialah ceramah keselamatan kebakaran, amalan pengurusan dan penyusunan tempat kerja yang baik, teori tatacara penggunaan alat pemadam api serta pengungsian bangunan secara teori dan praktikal.

KAKITANGAN Pusat Dialisis NKF-BonusLink mencuba menggunakan alat pemadam api ketika menjalani latihan praktikal keselamatan kebakaran di Sarikei. Foto BBP Sarikei

“Pendedahan mengenai penggunaan alat pemadam api memberi pengetahuan asas kepada peserta mengenai tatacara penggunaannya ketika berdepan situasi kebakaran,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, aspek pengurusan dan penyusunan tempat kerja yang baik turut diberi perhatian sebagai sebahagian daripada langkah mewujudkan persekitaran yang lebih teratur dan selamat.

“Latihan pengungsian bangunan pula merangkumi penerangan secara teori sebelum peserta diberikan pendedahan praktikal mengenai tindakan yang perlu dilakukan ketika proses pengungsian.

“Gabungan penerangan dan latihan praktikal membolehkan peserta memahami aspek keselamatan kebakaran dengan lebih jelas, bukan sahaja dari sudut pencegahan, tetapi juga tindakan ketika kecemasan,” katanya.

Oleh Earl Anek