SIMANGGANG: Seramai 27 peserta menyertai Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 1/2026 anjuran Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sri Aman yang berlangsung selama dua hari di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sri Aman.
Kursus berkenaan bertujuan memberikan pendedahan serta pengetahuan asas kepada peserta berkaitan aspek kesiapsiagaan, keselamatan, pertolongan cemas dan tindakan awal ketika berdepan situasi kecemasan.
Program itu melibatkan seorang pegawai, lima jurulatih, lima urusetia serta 17 peserta yang mengikuti pelbagai modul latihan sepanjang kursus berlangsung.
Antara pengisian utama ialah pengenalan dan taklimat Pertahanan Awam yang memberi pemahaman kepada peserta mengenai peranan serta tanggungjawab dalam membantu menghadapi situasi kecemasan.
Peserta turut diberi latihan pertolongan cemas, termasuk pengurusan pendarahan, luka dan kaedah balutan sebagai kemahiran asas yang penting ketika memberikan bantuan awal kepada mangsa.
Modul bantuan pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan tindakan ketika tercekik (choking) turut diberi penekanan bagi membolehkan peserta memahami tindakan segera yang boleh diambil dalam situasi yang mengancam nyawa.


Selain itu, latihan melawan kebakaran dan menyelamat kecemasan turut dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kecekapan peserta dalam mengendalikan insiden kecemasan secara lebih teratur dan selamat.
Peserta juga didedahkan kepada asas kawad kaki serta kemahiran ikatan dan simpulan, selain pengenalan kepada peralatan yang terdapat dalam ambulans.
Kesemua latihan dilaksanakan berdasarkan arahan serta silibus yang telah ditetapkan bagi memastikan peserta memperoleh pengetahuan dan kemahiran asas yang bersesuaian dengan keperluan tugas serta kesiapsiagaan awam.
Program turut diakhiri dengan majlis penutupan, manakala sepanjang kursus berlangsung tiada sebarang kes kecemasan dilaporkan dan keseluruhan aktiviti berjalan lancar, teratur serta selamat.
Kursus tersebut diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran dan keyakinan peserta untuk mengambil tindakan awal yang betul ketika berhadapan kecemasan, sekali gus menyokong usaha memperkukuh kesiapsiagaan komuniti di Sri Aman.
Oleh Adi Safarman




