KUALA LUMPUR: Di sebalik susuk dirinya sebagai pendamping setia Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mencipta legasi tersendiri sebagai antara doktor wanita Melayu terawal yang banyak menyumbang kepada pembangunan kesihatan awam negara, sebelum sumbangannya turut merentas ke peringkat antarabangsa.
Sepanjang kerjayanya, Dr Siti Hasmah atau nama sebenarnya Hasmah Mohd Ali, memberikan perhatian besar terhadap kesihatan ibu dan kanak-kanak, program imunisasi, pembangunan wanita luar bandar, usaha menangani penyalahgunaan dadah serta meningkatkan celik huruf dalam kalangan orang dewasa.
Hari ini, Malaysia kehilangan tokoh wanita hebat apabila Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun. Allahyarham meninggalkan suami, Dr Mahathir dan tujuh anak.
Namun, di sebalik perjalanan panjangnya dalam dunia perubatan, bidang itu sebenarnya bukanlah cita-cita awal anak kelahiran Kampung Jawa, Klang, Selangor itu.
Allahyarham pada mulanya bercita-cita menjadi wartawan, sebelum perjalanan hidup membawanya memilih bidang perubatan yang kemudian menjadi medan baktinya selama puluhan tahun.
Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Dr Siti Hasmah merupakan anak keenam daripada 10 beradik pasangan Mohd Ali Taib dan Siti Khadijah Ahmad. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Baru, Methodist Girls School, St Mary’s School dan kemudiannya Pudu English Girls School.
Pada 1947, Dr Siti Hasmah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura dan merupakan satu-satunya wanita Melayu yang mengikuti pengajian bidang berkenaan di institusi itu pada tahun tersebut.
Kecekalan mengharungi pengajian yang mencabar akhirnya menyaksikan beliau menamatkan pengajian perubatan pada Jun 1955, sekali gus muncul antara wanita Melayu terawal yang menceburi profesion perubatan ketika bidang itu masih didominasi lelaki.
Dr Siti Hasmah memulakan kerjaya sebagai doktor pelatih di Hospital Kuala Lumpur pada 1955 sebelum berpindah ke Kedah setahun kemudian dan dilantik sebagai pegawai perubatan wanita di Hospital Alor Setar.
Di Kedah, negeri kelahiran suaminya, Allahyarham mula melihat sendiri cabaran kesihatan dihadapi masyarakat luar bandar, pengalaman yang kemudiannya banyak membentuk perjuangannya dalam bidang kesihatan awam.
Pada 1962, beliau dilantik sebagai pemangku penguasa perubatan bagi kawasan utara Kedah dan tiga tahun kemudian menjadi wanita pertama dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak selain menjadi Pengetua Sekolah Latihan Kesihatan Luar Bandar di Jitra.
Dalam autobiografinya My Name is Hasmah diterbitkan pada 2016, Dr Siti Hasmah mengimbau bagaimana pengalamannya di Kedah membuka mata beliau terhadap tahap kesedaran kesihatan yang masih rendah dalam kalangan wanita dan kanak-kanak luar bandar.
Antara cabaran utama ketika itu ialah aspek penjagaan sepanjang kehamilan, proses kelahiran dan penjagaan bayi yang turut dipengaruhi faktor kemiskinan, adat serta pantang larang, selain kekurangan pengetahuan mengenai kesihatan.
Dalam temu bual Siti Hasmah, Hari Wanita dan Vaksin pada 2021, Allahyarham mengimbau kebimbangannya terhadap ancaman penyakit yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak ketika itu antaranya tibi, polio, batuk kokol, difteria dan kancing gigi.
Keadaan itu mendorong beliau turun ke kampung-kampung bersama pasukannya untuk membawa perkhidmatan rawatan, imunisasi dan pendidikan kesihatan kepada masyarakat.
Dr Siti Hasmah turut memastikan bidan kampung diberi latihan sewajarnya supaya penjagaan ibu dan bayi dapat dilakukan dengan lebih selamat dan berkesan.
Dalam satu ucapan pada 1997, beliau mengimbau bagaimana pasukannya membawa pelbagai program kerajaan kepada masyarakat termasuk imunisasi, pemakanan, pencegahan penyakit berjangkit, pembasmian malaria dan penjagaan ibu mengandung berisiko tinggi.
“Ketika saya meninggalkan Kedah, saya amat puas hati kerana masyarakat telah memilih untuk menerima program kesihatan kerajaan dan mendapat manfaat daripadanya,” kata Dr Siti Hasmah dalam ucapan pada majlis pembukaan R.I District 3300 pada 1997 di ibu negara.
Usaha itu turut dikaitkan dengan penurunan ketara kadar kematian bayi, pencapaian yang membuka ruang kepada beliau berkongsi pengalaman mengenai pendekatan kesihatan awam Malaysia di Washington, Amerika Syarikat.
Dr Siti Hasmah bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 1979 sebelum menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya sebagai pensyarah sambilan dalam bidang perubatan sosial sehingga 1981.
Sumbangannya mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk Pingat Perkhidmatan Cemerlang Negeri Kedah pada 1964 susulan peranannya menangani wabak kolera, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Asia pada 2019 dan Anugerah Khas Tokoh Antidadah Kebangsaan pada 2020.
Di luar bidang perubatan, Allahyarham aktif dalam pelbagai pertubuhan selain mempunyai hubungan rapat dengan arena badminton negara sebagai Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sehingga dianggap seperti “ibu” oleh pemain negara.
Beliau turut mewakili Malaysia pada Persidangan Antarabangsa mengenai Penyalahgunaan Dadah di Vienna pada 1987 dan pernah menjadi Penaung Persatuan Wanita Pan Pasifik dan Asia Tenggara (PPSEAWA) Malaysia.
Komitmennya terhadap pembangunan wanita luar bandar pula menyaksikan beliau diundang menghadiri First Ladies Summit for the Economic Advancement of Rural Women di Geneva pada 1992 dan dipilih sebagai seorang daripada enam Core-Group Initiators of First Ladies mewakili rantau Asia Pasifik.
Pada 2001, Dr Siti Hasmah mengetuai kumpulan 15 wanita terdiri daripada doktor, pendidik, penulis dan ahli akademik dalam lawatan kemanusiaan ke Iraq bagi melihat keadaan rakyat, khususnya kanak-kanak yang terkesan akibat sekatan ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Daripada kampung-kampung di Kedah hingga ke pentas antarabangsa, perjalanan Dr Siti Hasmah memperlihatkan seorang doktor yang menjadikan kesihatan masyarakat serta kesejahteraan wanita dan kanak-kanak antara perjuangan utama hidupnya.
Di sebalik pelbagai gelaran dan pengiktirafan, kata-kata beliau yang dipetik dalam buku Suri Hati Mahathir, The Other Half mungkin paling dekat menggambarkan warisan yang mahu ditinggalkannya:
“Saya tiada apa hendak diberikan atau ditinggalkan kepada rakyat kecuali kasih sayang dan nasihat-nasihat saya. Ambillah dan amalkan.”- Bernama



