SARIKEI: Tumpahan minyak di permukaan Jalan Bayong mengundang risiko kepada pengguna jalan raya sebelum pasukan bomba bertindak menutup kawasan terjejas menggunakan habuk kayu semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.35 pagi.
“Susulan panggilan kecemasan itu, komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Alffian Sahmat bersama dua anggota bomba digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat tumpahan minyak di atas permukaan jalan raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, operasi bermula pada 11.55 pagi dengan penilaian awal dilakukan bagi menentukan tindakan yang sesuai untuk menangani tumpahan berkenaan.
“Komander operasi membuat penilaian awal dan seterusnya mengarahkan anggota bomba menggunakan habuk kayu untuk menutupi tumpahan minyak.
“Operasi di lokasi selesai sepenuhnya pada 12.17 tengah hari,” katanya.
Oleh Earl Anek




