
TRISO: Permohonan penyambungan meter elektrik di Kampung Triso akan dilaksanakan secara berfasa sekiranya projek Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) belum dapat dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata mahu projek tersebut dipercepatkan dalam usaha memastikan setiap isi rumah khususnya luar bandar dan Kampung Triso serta kawasan-kawsan lain menikmati kemudahan bekalan elektrik selama 24 jam.
“Projek ALAF ini merupakan projek berterusan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak sejak 2018 dan telah memberi manfaat kepada beberapa kampung khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga ini.
“Justeru, kita mahu pelaksanaan projek ALAF ini dipercepatkan bagi membolehkan permohonan pemasangan meter elektrik oleh penduduk dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan program Jelajah Raya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Triso di sini, semalam.
Selain itu, Dayang Noorazah, berkata projek naik taraf Dewan Triso juga akan dilaksanakan menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Begitu juga dengan projek-projek rakyat yang lain, kesemua projek yang telah dan bakal dilaksanakan akan dibuat secara berfasa.
“Saya berharap agar penduduk bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya ketika pembangunan dibawa masuk,” ujarnya.
Mengenai permohonan Rumah Spektra Permata (RSP) oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak haruslah dibuat secara berkelompok di setiap kampung.
Antara pengisian program Jelajah Raya JKKK Kampung Triso anjuran belia dan penduduk kampung ialah pertandingan tarik tali, pertandingan futsal, dan Pertandingan Sepak Takraw Kampung Triso.
Turut hadir ialah Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Maludam Noraini Aden, Penghulu Mahli Ismail, Ketua Kampung Triso Awang Mos Sulaiman, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga Suhaidi Los, dan Ketua Pemuda PBB Lingga Abdul Rahim Jamil.
Oleh Adi Safarman