SARATOK: Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian menerusi Op Dadu di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Hendry Muji dalam serbuan tersebut.
Menurutnya, suspek ditahan ketika sedang leka bermain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit miliknya di sebuah lokasi di Saratok.
“Ketika serbuan dijalankan, suspek didapati berseorangan di tempat kejadian dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama MI 6X berwarna merah yang dipercayai digunakan bagi aktiviti perjudian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil saringan awal mendapati ujian air kencing suspek adalah negatif, manakala pemeriksaan rekod menunjukkan lelaki berkenaan mempunyai satu rekod kes lampau.
Suspek yang bekerja sebagai buruh dan telah bercerai itu kini disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
“Kes ini telah selesai dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya.
Operasi berkenaan merupakan antara usaha berterusan pihak polis membanteras kegiatan perjudian, termasuk perjudian yang dijalankan melalui platform dalam talian di Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman




