ENGKILILI: Masyarakat luar bandar diseru meneroka pelbagai projek ekonomi yang mempunyai potensi pasaran bagi meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan kepada satu-satu sumber pendapatan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata, penggunaan teknologi baharu secara bijak, termasuk telefon pintar, mampu membantu masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan pertanian, mempelajari teknologi pengeluaran dan meneroka peluang pemasaran secara digital.
Menurutnya, usaha meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar melalui aktiviti pertanian moden dan berorientasikan komersial perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mempelbagaikan sumber ekonomi penduduk.
“Teknologi pada hari ini membuka banyak peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat, mempelajari kaedah pertanian moden dan memasarkan hasil pertanian dengan lebih luas.
“Justeru, masyarakat perlu menggunakan kemudahan yang ada secara bijak untuk meneroka peluang ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Rumah Machau Seman, Nanga Kumpang, di sini semalam.

Sementara itu, wakil Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Freddy Paul Giang berkata, program AgriCOP amat penting kerana menjadi platform bagi Jabatan Pertanian Sarawak turun padang untuk mendengar sendiri pandangan, keperluan dan permasalahan masyarakat serta petani di kawasan luar bandar.
Menurutnya, sektor pertanian merupakan antara sektor penting dalam pembangunan ekonomi Sarawak, khususnya dalam meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar, menjamin bekalan makanan dan membuka peluang kepada generasi muda untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Jabatan Pertanian Sarawak sentiasa komited membantu masyarakat melalui pelbagai program pembangunan pertanian, termasuk bantuan input pertanian, khidmat nasihat teknikal, latihan pembangunan, infrastruktur serta galakan kepada pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan berdaya saing.
“Program AgriCOP seperti ini juga merupakan platform penting untuk kita memperkukuh hubungan antara Jabatan Pertanian dengan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru penduduk Rumah Machau dan masyarakat di Nanga Kumpang supaya melihat bidang pertanian bukan sekadar aktiviti sampingan, sebaliknya sebagai peluang menjana pendapatan serta membangunkan ekonomi keluarga dan komuniti.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak untuk menggalakkan penduduk mempergiatkan aktiviti pertanian dan mengoptimumkan penggunaan tanah, selain melahirkan masyarakat luar bandar yang mempunyai kemahiran dalam industri pertanian moden.

Seramai 160 peserta daripada 16 rumah panjang berdekatan menyertai program tersebut yang turut menyediakan pelbagai ceramah dan sesi diseminasi berkaitan teknologi serta peluang dalam sektor agro.
Antara pengisian ialah pengenalan AgriCOP oleh Eriyansah dari Ibu Pejabat, diseminasi teknologi tanaman kelapa sawit oleh Riat Kalom dari MPOB Sri Aman, teknologi pengendalian racun perosak dan penyakit tanaman oleh Chelester serta teknologi sistem hidroponik dan NFT oleh Canavey.
Turut diadakan sesi diseminasi teknologi tanaman kopi oleh Gan dan e-Tani oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Transformasi dan Digitalisasi yang disampaikan oleh Badin Unor.
Kesemua sesi berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi moden, amalan pertanian pintar serta peluang keusahawanan yang boleh diterokai bagi memperkukuh sumber pendapatan masyarakat luar bandar.
Oleh Adi Safarman




