Pertandingan Memancing Muara Tebas dijangka pacu ekonomi penduduk setempat

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Hazland Abang Hipni pada Majlis Penutupan Pertandingan Memancing anjuran KRT Kampung Muara Tebas yang berlangsung di Jeti Muara Tebas, hari ini. Foto: Jabatan Perikanan Laut Sarawak

MUARA TEBAS: Penganjuran pertandingan memancing yang julung kali diadakan di Muara Tebas berpotensi menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, program seumpama itu bukan sahaja menjadi platform rekreasi dan mengeratkan hubungan komuniti, malah mampu membuka peluang ekonomi kepada penduduk sekitar.

Menurutnya, kehadiran pengunjung dari luar kawasan sempena pertandingan tersebut dapat memberi limpahan manfaat kepada pengusaha kecil, peniaga serta komuniti setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) atas sokongan serta bantuan yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pertandingan Memancing anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Muara Tebas yang berlangsung di Jeti Muara Tebas, hari ini.

Pertandingan berkenaan turut diserikan dengan Majlis Pelepasan Benih Ikan Siakap yang disempurnakan oleh Dr Hazland, dengan beliau turut diiringi Pengarah Kanan JPLS, Abdul Rahman Abdul Wahab.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan atas penyertaan, komitmen dan semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.

Dalam pada itu, pelepasan benih ikan siakap menjadi antara usaha penting dalam menyokong pemuliharaan dan pengayaan sumber perikanan, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kelestarian ekosistem perairan.

Program tersebut juga memperlihatkan jalinan kerjasama erat antara JPLS dengan komuniti nelayan serta penduduk setempat dalam memperkukuh usaha pemuliharaan sumber perikanan, kelestarian ekosistem perairan dan pembangunan sosioekonomi komuniti.

Turut hadir Ketua Kampung Kaum Muara Tebas, Sudin Rasit; Pegawai Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Hamdi Omar; Pengerusi KRT Muara Tebas; Ketua Kaum Kampung Selabat; pegawai dan kakitangan JPLS serta penduduk Kampung Muara Tebas.

Oleh Adi Safarman