BETONG: Program Sarawak Ku Sayang (SKS) 2026 Siri Ketujuh di Betong dijangka menarik sekurang-kurangnya 115,000 pengunjung menerusi pelbagai pengisian menarik sepanjang tiga hari penganjuran di Kompleks Sukan Betong, dari 25 hingga 27 September ini.
Lebih menarik, sebuah Perodua Bezza 1.3X bernilai RM48,000 ditawarkan sebagai hadiah utama e-Peraduan, selain 107 hadiah lain untuk dimenangi pengunjung sepanjang program berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata sasaran kehadiran itu dibuat berdasarkan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang disediakan untuk masyarakat sepanjang program berlangsung.
Menurutnya, sebanyak 48 agensi akan mengambil bahagian dengan menyediakan 158 jenis perkhidmatan, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi.
“Anggaran kita tidak kurang daripada 115,000 pengunjung akan hadir,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penganjuran Sarawak Ku Sayang Bahagian Betong 2026 di Pejabat Residen, hari ini.
Uggah berkata, e-Peraduan turut menjadi antara tarikan utama program dengan pelbagai hadiah menarik disediakan, termasuk dua motosikal, sebuah ATV, pakej pelancongan ke Kuala Lumpur untuk dua orang selama empat malam lima hari, telefon bimbit, peralatan sukan, jongkong emas dan barangan elektrik.

Katanya, pengisian program turut merangkumi Malam Budaya Sarawak pada 25 September, persembahan artis pada 26 September serta Fun Run sejauh lima kilometer pada pagi 27 September.
Program berkenaan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 26 September.
Uggah turut menggalakkan masyarakat dari Bahagian Betong dan kawasan sekitar, termasuk Sri Aman, Sibu, Sarikei serta Lubok Antu, untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program berkenaan.
Malam Budaya Sarawak pada 25 September bakal menampilkan artis tempatan seperti Mawat dan Lucy Mapang, manakala Konsert Rakyat pada 26 September pula menampilkan Baby Shima, Bob Yusof dan artis lain.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee; dan Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas.
Oleh Adi Safarman




