RM187,000 naik taraf Arena Petanque Pantai Tanjung Kembang

Facebook
WhatsApp
CHEE Kadir bermain petanque bersama anggota Kelab Boules Kabong pada Majlis Kesyukuran dan Randau bersama Kelab Boules Kabong di Arena Petanque Pantai Tanjung Kembang, Kabong, petang tadi. Foto ADUN Kabong

KABONG: Sebanyak RM187,000 diperuntukkan bagi menaik taraf Arena Petanque Pantai Tanjung Kembang, di sini, sebagai usaha memperkukuh kemudahan sukan serta memberi keselesaan kepada komuniti petanque setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.

Menurutnya, antara skop penambahbaikan yang dikenal pasti termasuk aspek pencahayaan menerusi pemasangan lampu solar di sekitar arena berkenaan, selain beberapa kerja lain bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan pengguna.

“Usaha menaik taraf ini penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan dengan lebih baik oleh komuniti petanque, khususnya para atlet yang menjalani latihan dan menyertai pelbagai pertandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Randau bersama Kelab Boules Kabong yang berlangsung di Arena Petanque Pantai Tanjung Kembang, petang tadi.

Dalam majlis sama, Chee Kadir turut menyumbangkan RM5,000 kepada Kelab Boules Kabong bagi membantu kelab berkenaan melaksanakan aktiviti dan program yang dirancang.

Menurutnya, perkembangan sukan petanque di Kabong bukan sahaja menyediakan ruang riadah kepada masyarakat, malah turut membuka peluang kepada anak-anak tempatan untuk mengembangkan bakat sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada dua anak jati Kabong, Watziq Zulfiqrie Dahlan dan Muhamad Aiman Hazwan Abdul Kadir, atas pencapaian membanggakan pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026.

Watziq Zulfiqrie berjaya menyumbangkan pingat emas dalam acara petanque bersama gandingannya, Muhamad Irfan Syazani Fazarullah, selepas menewaskan pasangan Johor 13-7 pada aksi final.

Sementara itu, Muhamad Aiman Hazwan turut mencipta kejayaan apabila membawa pulang pingat perak dalam acara petanque pada temasya berkenaan.

CHEE Kadir bergambar bersama anggota Kelab Boules Kabong pada Majlis Kesyukuran dan Randau bersama Kelab Boules Kabong di Arena Petanque Pantai Tanjung Kembang, Kabong, petang tadi. Foto ADUN Kabong

Kedua-dua atlet berkenaan merupakan sebahagian daripada Kelab Boules Kabong yang membawa nama daerah itu ke pentas Sukma Selangor 2026.

Chee Kadir menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti bahawa anak-anak Kabong, termasuk dari kawasan luar bandar, mempunyai bakat dan kemampuan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Ini membuktikan bahawa anak-anak Kabong, walaupun datang dari kawasan luar bandar, mempunyai bakat dan kemampuan.

“Mereka mampu sama duduk dan sama berdiri dengan anak-anak yang berada di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berharap kejayaan Watziq dan Aiman Hazwan tidak terhenti di pentas SUKMA, sebaliknya menjadi batu loncatan untuk mereka terus mengembangkan kerjaya dalam bidang sukan.

Katanya, kedua-dua atlet itu perlu terus berusaha, mempertingkatkan prestasi dan menyasarkan peluang untuk mewakili negara pada kejohanan lebih tinggi, termasuk Sukan SEA dan Sukan Olimpik pada masa akan datang.

“Jangan berhenti di Sukma. Teruskan usaha, teruskan latihan dan sasarkan peringkat yang lebih tinggi.

“Mudah-mudahan suatu hari nanti anak-anak Kabong dapat mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di pentas Sukan SEA dan juga Olimpik,” katanya.

Chee Kadir turut berharap kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda di Kabong untuk menceburi bidang sukan, khususnya petanque, sekali gus membuktikan bahawa bakat dari luar bandar juga mampu diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Majlis berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara wakil rakyat, Kelab Boules Kabong dan komuniti petanque, selain memperkukuh komitmen bersama dalam menyokong pembangunan sukan di kawasan Kabong.

Turut hadir Datin Meryani Yassin, Pemangku Pegawai Daerah Kabong Hamimi Kassim, Penghulu Rahman @ Dom Kapok, Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong Abdul Rahim Peli dan Pengerusi Kelab Boules Kabong Mohamad Firdaus Badyalina.

Oleh Adi Safarman