SIBU: Pengurangan peruntukan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta adalah satu cabaran besar kepada Ahli Parlimen untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat bagi kawasan yang terletak di pedalaman.
Luahan sedemikian menerusi perkongsian di laman media sosial Facebook Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan untuk mengurangkan peruntukan pembangunan untuk Ahli Parlimen akan menyukarkan penyaluran bantuan dan urus tadbir bagi kawasan di pedalaman seperti di Kapit, yang keluasannya menyamai negeri Pahang.
“Sebagai ahli Parlimen dan ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, saya amat memahami dasar tindakan ini yang terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara.
“Meskipun saya merasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan dipertingkatkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Nanta yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata peruntukan sebelum ini membolehkan Ahli Parlimen membantu penduduk secara lebih efisien dan disalurkan secara langsung dan pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah atau jabatan kerajaan.
“Tidak terhad kepada penduduk di kawasan pedalaman, peruntukan seumpama ini juga besar manfaatnya kepada penduduk bandar dan pinggir bandar,” katanya yang juga Menteri Kerja Raya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas mengesahkan peruntukan pembangunan tahunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan dan akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai langkah mengawal aliran kewangan negara.