KUCHING: Masalah jalan sempit, kekurangan tempat letak kereta dan kenderaan yang berhenti di bahu jalan menyebabkan aliran trafik di kawasan komersial Gala City sering berdepan kesesakan, terutama pada waktu pagi dan tengah hari.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong, berkata keadaan itu menjadi semakin ketara apabila aktiviti mengambil dan menurunkan penumpang dilakukan di tepi jalan, sekali gus mengehadkan ruang untuk kenderaan melalui kawasan berkenaan.
Katanya, situasi itu lebih mencabar apabila kenderaan dari arah bertentangan perlu melalui laluan yang sama, manakala kenderaan besar pula menggunakan ruang tambahan di jalan yang sememangnya sempit.
“Keadaan ini boleh menyebabkan kesesakan yang ketara, terutama pada waktu pagi dan tengah hari. Masalah menjadi lebih serius apabila kenderaan besar mengambil ruang tambahan di atas jalan yang sememangnya sempit,” katanya.
Menurut Kong, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk dan pengusaha perniagaan berhubung keadaan trafik serta kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kekurangan tempat letak kereta turut menyebabkan sesetengah pengguna jalan raya meletakkan kenderaan secara tidak sah di bahu jalan, sekali gus menambah tekanan terhadap aliran trafik.
Sehubungan itu, Kong menggesa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan pihak berkuasa berkaitan mengkaji langkah penambahbaikan yang bersesuaian bagi menangani masalah berkenaan.
Antara cadangan dikemukakan ialah menjadikan jalan tertentu di Gala City sebagai jalan sehala bagi melancarkan aliran trafik, selain mengkaji semula susunan tempat letak kereta, garisan jalan serta kawasan khas untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
“Ini adalah penambahbaikan praktikal yang boleh menjadikan kawasan ini lebih selamat, mudah diakses dan selesa untuk penduduk serta para peniaga,” katanya.
Kong berkata, pengurusan trafik dan tempat letak kereta yang lebih baik penting bagi memastikan pergerakan kenderaan lebih lancar serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.
Oleh Connie Chieng





