KABONG: Baru seminggu menceburi kegiatan menjual judi tambah nilai secara dalam talian, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Pekan Kabong, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok menerusi operasi khas Op Dadu.
Menurutnya, operasi yang diketuai Inspektor Henry Muji itu dijalankan kira-kira 3.16 petang dan mendapati suspek berada seorang diri di kaunter premis berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan warga tempatan dan baru menamatkan pengajian Tingkatan Lima pada tahun lalu mengaku menjalankan aktiviti menjual judi tambah nilai secara dalam talian sejak seminggu lalu.
“Suspek dipercayai menyasarkan pelanggan di sekitar Pekan Kabong selepas mula bekerja di kedai runcit berkenaan,” katanya.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti berkenaan, termasuk sebuah telefon bimbit Redmi CE berwarna hitam, pencetak mudah alih berwarna hitam, wang tunai dalam pelbagai pecahan serta sebuah beg kecil berwarna kuning.
DSP Mathew berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut mendapati dia negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya.
Beliau menegaskan polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian haram di daerah Saratok dan Kabong, termasuk mereka yang bertindak sebagai ejen atau perantara kepada operasi perjudian dalam talian.
Oleh Adi Safarman




