Projek komuniti Kota Sentosa beri manfaat terus kepada penduduk

Facebook
WhatsApp
SIAP DILAKSANAKAN… Satu lagi projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjaya disiapkan bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan masyarakat setempat.

KOTA SENTOSA: Usaha menambah baik kemudahan komuniti di Kota Sentosa diteruskan menerusi pelaksanaan projek naik taraf Fasa 2 Kota Sentosa Town Square bernilai RM300,000 serta projek landskap bernilai RM50,000 di Kuil Sam San Kuet Bong, Batu Tujuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, berkata kedua-dua projek berkenaan mencerminkan kepentingan melaksanakan pembangunan berdasarkan keperluan sebenar masyarakat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, projek naik taraf Kota Sentosa Town Square dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP), dengan kerja membabitkan pemasangan louvers dan awning, peluasan lantai dewan utama serta pemasangan penghadang pentas.

Projek itu turut melibatkan kerja menaik taraf dan menggantikan pendawaian elektrik yang rosak bagi sistem lampu sedia ada bagi memastikan kemudahan berkenaan lebih selamat dan selesa digunakan.

“Pembangunan mesti berorientasikan rakyat dan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan. Tanggungjawab saya tidak berakhir selepas peruntukan diluluskan.

KEMAS DAN SELESA… Projek landskap di Kuil Sam San Kuet Bong, Batu Tujuh, dilaksanakan bagi memperindah kawasan sekitar serta mewujudkan persekitaran yang lebih selesa.

“Saya akan terus membuat susulan, memantau projek dan memastikan kemudahan yang siap memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Yap turut menyaksikan permulaan projek landskap bernilai RM50,000 di bahagian Green Dragon, Kuil Sam San Kuet Bong.

Keseluruhan kos projek berkenaan ditanggung oleh Yap bagi memperindah kawasan sekitar serta mewujudkan persekitaran yang lebih kemas dan selesa untuk penganut dan masyarakat setempat.

Yap berkata, pembangunan komuniti tidak semestinya bergantung kepada projek berskala besar, sebaliknya penambahbaikan kecil yang dilaksanakan berdasarkan keperluan penduduk juga mampu memberi kesan langsung terhadap kehidupan harian masyarakat.

“Sama ada melibatkan jalan raya, saliran, kemudahan awam atau ruang komuniti dan kebudayaan, saya akan terus mendengar keperluan rakyat dan berusaha membawa penambahbaikan yang bermakna,” katanya.

Oleh Connie Chieng