Pengarah JPJ Sarawak adakan sesi perjumpaan bersama warga kerja JPJ Mukah

Facebook
WhatsApp
PENGARAH JPJ Sarawak, Norizan Jili, bergambar bersama warga kerja JPJ Mukah selepas sesi perjumpaan di JPJ Mukah, hari ini.

MUKAH: Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili, mengadakan sesi perjumpaan bersama warga kerja JPJ Mukah hari ini bagi memperkukuh komunikasi dan hubungan kerja antara pihak pengurusan dengan warga kerja di peringkat akar umbi.

Sesi berkenaan turut menjadi platform bagi pihak pengurusan JPJ Sarawak mendapatkan maklum balas secara langsung berhubung pelaksanaan tugas, cabaran operasi serta perkara berkaitan penyampaian perkhidmatan di peringkat cawangan.

Dalam pertemuan itu, Norizan turut menyampaikan amanat serta penekanan berkaitan tanggungjawab dan komitmen warga kerja dalam melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan integriti.

NORIZAN Jili menyampaikan amanat kepada warga kerja JPJ Mukah dalam sesi perjumpaan bagi memperkukuh komunikasi dan hubungan kerja serta mendapatkan maklum balas berkaitan pelaksanaan tugas dan penyampaian perkhidmatan.
 

Pertemuan secara bersemuka itu turut memberi ruang kepada warga kerja JPJ Mukah untuk berkongsi pandangan, pengalaman serta cadangan bagi penambahbaikan perkhidmatan.

JPJ Sarawak dalam kenyataan di media rasminya berkata, pihaknya sentiasa komited memastikan kebajikan, pandangan dan keperluan warga kerja di setiap peringkat diberi perhatian.

Usaha itu selaras dengan komitmen jabatan untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan berorientasikan rakyat.

Turut hadir, Ketua Cawangan JPJ Mukah, Dayang Feridzah Awang Kadir.

Oleh Afiq Sallehi