LAWAS: Pembangunan yang dinikmati rakyat di kawasan utara Sarawak seharusnya menjadikan kehidupan mereka lebih selesa selain terus memupuk perpaduan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pembangunan yang sedang berlangsung di Sarawak perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat untuk meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan keluarga.
Ini penting kerana pembangunan yang dilaksanakan adalah untuk memastikan rakyat dapat hidup selesa dan berjaya dalam bidang yang mereka usahakan.
Malah, mereka boleh terus menyumbang kembali kepada keluarga dan komuniti masing-masing hasil daripada pembangunan yang dinikmati.
“Kerajaan Sarawak terus memberikan perhatian kepada pembangunan kawasan utara Sarawak, termasuk Lawas dengan meningkatkan jaringan perhubungan, kemudahan asas dan infrastruktur serta membuka lebih banyak ruang kepada kegiatan ekonomi dan pelaburan.
“Namun bagi saya, pembangunan bukan hanya mengenai berapa banyak jalan, jambatan atau bangunan yang dapat kita bina. Pembangunan mesti akhirnya memberi manfaat kepada rakyat, membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak kita, membantu peniaga dan usahawan tempatan berkembang, meningkatkan pendapatan keluarga dan mewujudkan masa depan yang lebih baik.
“Kita mahu apabila Lawas berkembang, masyarakat tempatan turut berkembang bersamanya. Kita mahu lebih ramai anak muda melihat bahawa mereka mempunyai masa depan di Lawas untuk melanjutkan pendidikan, membina kerjaya, memulakan perniagaan dan akhirnya menyumbang kembali kepada masyarakat mereka sendiri.
“Dalam kita membawa pembangunan dan perubahan ini, kita juga tidak boleh kehilangan identiti dan nilai yang menjadikan Lawas istimewa,” katanya pada majlis sambutan perayaan Kuih Bulan dan sambutan 40 tahun perayaan Kuih Bulan Daerah Lawas di Arena Lawas malam tadi.
Teks ucapan Awang Tengah dibacakan oleh Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong yang mewakili beliau.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengerusi Pengelola Liaw Ho Peng serta kenamaan lain.
Oleh Adeng Edrus





