KUCHING: Pelajar yang mendapat surat tawaran memasuki Institut Pengajian Tinggi (IPT) disarankan untuk memohon sumbangan dana daripada Pusat Khidmat Parlimen P.193 Santubong.
Ahli Parlimennya, Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pintu pejabatnya terbuka untuk para pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya tidak mahu melihat anak muda tercicir dalam bidang pembelajaran.
“Walaupun dana yang diberikan kepada mereka sedikit, saya yakin bantuan tersebut amat bermakna buat mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan dan Sumbangan Geran MRP dan Bantuan Perubatan Parlimen P.193 Santubong di sini, semalam.
Sebanyak RM254, 900 bantuan diagihkan kepada 91 pertubuhan dan penerima pada majlis itu.
Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi memberitahu, pihaknya juga tidak putus-putus menyalurkan bantuan kepada ahli koperasi dan usahawan yang memerlukan, lebih-lebih lagi ketika negara berdepan dengan pendamik Covid-19.
“Lebih 90 peratus peniaga jalanan tidak mendaftarkan perniagaan mereka.
“Selepas ini kami mengambil pendekatan untuk membantu peniaga ini menjadi ahli koperasi memandangkan banyak faedah yang bakal mereka terima daripada koperasi,” ujarnya.
Oleh Nur Ain Otsman