Beras lebih sihat antara usaha Sarawak kukuhkan sekuriti makanan

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara DUBS Miri dan Curtin University Malaysia.

KUCHING, 5 Oktober: Penghasilan beras yang lebih sihat menerusi varieti padi baharu menjadi antara pendekatan Sarawak dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan, selain meningkatkan hasil pengeluaran menggunakan teknologi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata Sarawak sedang meneroka penghasilan beras berbiji panjang dan mempunyai kandungan kanji lebih rendah, yang bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut kesihatan tetapi berpotensi menjadi produk makanan bernilai tambah.

Beliau berkata, usaha berkenaan turut penting dalam menghadapi cabaran sekuriti makanan dunia yang semakin terdedah kepada perubahan iklim dan gangguan pengeluaran di negara pengeluar.

“Padi ini tidak perlu ditanam semula, selepas dituai ia akan tumbuh dan berbuah lagi. Sepanjang tahun padi itu akan tumbuh dan pengeluarannya dianggarkan 14 tan sehektar,” katanya ketika berucap pada Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-40 Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS).

Menurutnya, penyelidikan varieti baharu berkenaan dijalankan dengan kerjasama Universiti Yunnan di Baram, berhampiran Miri, manakala percubaan meningkatkan hasil padi turut dilakukan di Gedong bersama Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, percubaan di Gedong berjaya meningkatkan hasil daripada kira-kira satu tan kepada lapan tan sehektar menerusi penggunaan teknologi baharu.

“Dan beras ini pun boleh tahan, bijinya panjang dan kurang kanji. Orang sekarang banyak menghadapi masalah seperti kencing manis. Jadi dari sudut kesihatan, kita menghasilkan beras yang sihat,” katanya.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menerima penganugerahan sebagai menghargai sumbangan dan sokongan beliau dalam memperkukuh peranan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) serta pembangunan usahawan Bumiputera di Sarawak.

Abang Johari berkata, Sarawak menyasarkan untuk menanam padi di kawasan seluas 14,000 hektar, termasuk 8,000 hektar di tanah kerajaan, bagi meningkatkan pengeluaran dan mengukuhkan bekalan makanan.

Katanya, peningkatan pengeluaran tidak boleh bergantung kepada kaedah pertanian tradisional semata-mata, sebaliknya petani perlu celik teknologi termasuk penggunaan dron, robotik dan Internet Benda (IoT).

“Petani kita hendaklah celik teknologi kerana teknologi sangat penting,” katanya.

Menurutnya, penggunaan teknologi dalam sektor pertanian membolehkan kerja seperti pembajaan, pemantauan tanaman dan pengurusan ladang dilakukan dengan lebih cekap, sekali gus membantu meningkatkan hasil.

Pada masa yang sama, usaha meningkatkan pengeluaran makanan membuka ruang kepada komuniti perniagaan untuk membangunkan rantaian nilai baharu, daripada pengeluaran benih dan penanaman sehingga pemprosesan, pemasaran serta eksport.

Abang Johari berkata, Sarawak bukan sahaja perlu menghasilkan makanan untuk keperluan sendiri, malah mempunyai potensi menjadi pengeksport makanan sekiranya pengeluaran dapat ditingkatkan melebihi keperluan domestik.

“Kalau ada lebih, kita eksport. Sarawak boleh menjadi pengeksport utama beras di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, keupayaan menghasilkan makanan sendiri juga semakin penting apabila perubahan iklim menjejaskan pengeluaran dan eksport makanan di beberapa negara.

Katanya, sekiranya negara pengeluar seperti Pakistan dan Vietnam menghadapi gangguan eksport akibat banjir atau bencana lain, Sarawak berpeluang memenuhi sebahagian permintaan pasaran sekiranya mempunyai bekalan dan kapasiti pengeluaran yang mencukupi.

Pendekatan itu, katanya, menjadikan sekuriti makanan bukan sahaja isu bekalan, tetapi turut membuka peluang ekonomi kepada petani, usahawan dan komuniti perniagaan tempatan.

Bagi DUBS, beliau berkata, perkembangan sektor makanan itu merupakan antara bidang baharu yang perlu diterokai usahawan Bumiputera dengan memanfaatkan teknologi dan perubahan permintaan pasaran.

“DUBS boleh melihat potensi-potensi ini, jadi kita boleh membangunkan perniagaan baharu untuk orang DUBS. Tetapi kamu perlu meneroka, perlu tahu teknologi, perlu melihat apa yang boleh ditawarkan dan meletakkan diri dalam pasaran yang sedang berkembang,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi