DARO, 21 November: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.43 Daro di semua peringkat diingatkan supaya memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Ketua Cawangan PBB N.43 Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, persiapan itu perlu melibatkan semua peringkat termasuk cawangan dan ranting serta Pergerakan Wanita, Pemuda dan Belia 1828.
Menurutnya, walaupun suasana menjelang PRN kali ini dilihat agak tenang berbanding pilihan raya sebelumnya, jentera parti tidak boleh leka atau mengambil mudah persiapan menghadapi pilihan raya.
“Alhamdulillah, saya melihat semangat dalam kalangan ahli parti begitu baik sekali. Walaupun keadaan ketika ini agak sunyi berbanding PRN sebelumnya, jentera PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak boleh leka, sebaliknya perlu terus bersedia untuk mencapai kemenangan cemerlang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas menyempurnakan Konvensyen Khas Parti PBB Sarawak Cawangan N.43 Daro dan Majlis Pelancaran Jentera Parti Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 bagi DUN N.43 Daro di Dewan Masyarakat Daro, di sini, hari ini.

Safiee yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak berkata, setiap ranting perlu memperkemas organisasi serta memastikan maklumat pengundi sentiasa dikemas kini bagi melancarkan gerak kerja kempen.
Katanya, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik turut memberi cabaran baharu berikutan pertambahan jumlah pengundi.
“Pilihan raya kali ini mungkin sedikit mencabar kerana jumlah pengundi bertambah susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran secara automatik.
“Justeru, setiap ahli khususnya di peringkat ranting dan cawangan perlu bekerja lebih keras untuk mendekati pengundi serta memastikan sokongan mereka terus bersama kita,” ujarnya.
Beliau mengingatkan ahli parti supaya sentiasa mengekalkan perpaduan dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Pencapaian serta pelbagai inisiatif pembangunan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg perlu diketengahkan kepada rakyat sebagai usaha memperkukuh sokongan terhadap GPS,” katanya.

Mengulas prestasi pilihan raya lalu, Safiee berkata, PBB Daro pernah mencatatkan kedudukan lima terbaik dari segi undi popular pada PRN 2016.
Katanya, pencapaian itu meningkat pada PRN 2021 apabila Daro berada di kedudukan kedua dari segi undi popular dengan memperoleh hampir 94 peratus undi.
“Pencapaian itu menjadi penanda aras kepada semua ahli parti untuk berusaha mencapai keputusan lebih baik pada PRN akan datang.
“Kita mahu membuktikan bahawa jentera PBB N.43 Daro sentiasa memberikan yang terbaik dan mampu menjadi kebanggaan kepada PBB serta GPS secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata, selepas pelancaran jentera itu, tumpuan seterusnya adalah terhadap persiapan proses penamaan calon serta penyusunan strategi kempen sepanjang tempoh 14 hari yang ditetapkan.
Terdahulu, konvensyen berkenaan turut menampilkan dua pembentangan iaitu Taklimat Polling Agent & Counting Agent (PACA) oleh Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak, Datu Haji Takun Haji Sunggah.
Sementara itu, pembentangan bertajuk ‘Menuju PRN Ke-13: Perkongsian Maklumat N.43 Daro’ disampaikan oleh Penolong Pengarah Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Yushairi Raduan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Cawangan PBB N.43 Daro, Kaunselor Hamden Taha, Ketua Pergerakan Wanita, Mastiah Ahmad, Ketua Pergerakan Pemuda, Mohd Faizal Jamiluddin, Ketua Pergerakan Belia 1828, Mohd Haiqal Aiman Saadi, Setiausaha Cawangan, Kaunselor Mohd Suffian Fauzi serta Pengerusi SUPP Cawangan Daro, Tan Soon Kuang.
Oleh Akun Giman




