Sistem Torrens pastikan pemilikan tanah NCR lebih teratur – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Paringgi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Serian di Pusat Konvensyen Serian, hari ini. Foto Ukas

SERIAN, 21 November: Pelaksanaan Sistem Torrens penting bagi memastikan pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak direkodkan dengan teratur, sekali gus mengelakkan pertikaian hak milik, khususnya dalam kalangan ahli keluarga.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setiap bidang tanah perlu melalui proses pengukuran, mempunyai geran dan didaftarkan dalam rekod rasmi bagi memastikan status pemilikannya jelas serta diiktiraf.

Menurutnya, sistem itu membolehkan hak pemilikan tanah dikenal pasti secara sah melalui pendaftaran rasmi, sekali gus mengelakkan masalah pembahagian tanah pusaka yang boleh mencetuskan perselisihan antara waris sekiranya tidak diuruskan dengan teratur.

Beliau berkata, prinsip Sistem Torrens yang turut diamalkan di negara seperti Australia dan New Zealand menjadi asas penting dalam memastikan urusan pemilikan tanah mempunyai rekod yang jelas.

Dalam pada itu, Abang Johari memuji Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) kerana secara sukarela menawarkan bantuan kepada kerajaan dalam melaksanakan kerja pengukuran tanah, khususnya bagi menangani kekurangan tenaga juruukur ketika ini.

Katanya, kesediaan DBNA untuk menjadi rakan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) membuktikan komitmen persatuan itu dalam membantu menyelesaikan isu berkaitan tanah NCR, dan bukannya sekadar mengemukakan kritikan tanpa turut serta dalam usaha mencari penyelesaian.

“Saya memuji DBNA kerana mereka menawarkan diri untuk mengukur tanah sendiri. Mereka menjadi rakan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei.

“Orang lain hanya bising dan bercakap, tetapi tidak bekerja. Sebab itu saya tabik kepada orang Bidayuh kerana menjadi rakan kita dalam membantu menyelesaikan isu tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Serian di Pusat Konvensyen Serian, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, kekurangan tenaga juruukur ketika ini mendorong kerajaan mengambil inisiatif menghantar pegawai JTS ke sebuah universiti teknologi di Johor bagi mempelajari penggunaan teknologi baharu dalam kerja pengukuran tanah.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai kepentingan untuk menyimpan tanah, sebaliknya mahu memastikan hak pemilikan rakyat dilindungi menerusi sistem pendaftaran yang teratur.

Oleh Shahrul Qaizat