SERIAN, 21 November: Keadaan Sarawak yang aman dan ditadbir dengan baik menyebabkan parti-parti luar berasa gentar untuk bertanding di negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, kestabilan negeri yang dinikmati ketika ini perlu dipertahankan oleh rakyat Sarawak agar pembangunan dan kemakmuran negeri dapat diteruskan tanpa gangguan pihak luar.
Katanya, terdapat parti yang menyatakan tidak akan bertanding di Sarawak, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai gambaran keadaan politik negeri yang aman dan stabil.
“Terima kasihlah kerana tidak mahu bertanding di sini. Mereka tidak mahu bertanding kerana tahu negeri kita aman dan diuruskan dengan baik.
“Siapa yang mahu datang, kita akan lawan. Anak Sarawak jangan dicuba kerana budaya Sarawak hanya orang Sarawak yang tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Serian di Pusat Konvensyen Serian, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut membangkitkan pencapaian ekonomi Sarawak yang menyaksikan hasil pendapatan negeri meningkat daripada kira-kira RM6 bilion ketika beliau mengambil alih kepimpinan negeri kepada RM15 bilion ketika ini.
Katanya, peningkatan hasil itu membolehkan Sarawak mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan, selain mempunyai kemampuan mengambil alih aset strategik termasuk Pelabuhan Bintulu dengan nilai RM1.8 bilion.
Beliau turut menyentuh penguasaan kepentingan Sarawak dalam Affin Bank sebagai sebahagian usaha memperkukuh kedudukan ekonomi negeri.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat supaya terus mempertahankan Sarawak dan memastikan negeri ini terus maju serta makmur.
“Kita jaga Sarawak, kita pelihara Sarawak dan kita majukan Sarawak. Sarawak mesti maju dan makmur,” katanya.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, beberapa parti politik dari Semenanjung Malaysia telah menyatakan pendirian untuk tidak meletakkan calon atau masih mempertimbangkan penyertaan mereka dalam pilihan raya kali ini.
Barisan Nasional (BN), menerusi Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 15 November lalu mengesahkan gabungan itu tidak berhasrat bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, selaras dengan persefahaman politik antara UMNO dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Sementara itu, PAS pada 19 November mengumumkan keputusan tidak meletakkan calon selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta beberapa pertimbangan lain.
Perikatan Nasional (PN) pula menyatakan bahawa pilihan untuk tidak bertanding masih dalam pertimbangan, menurut Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa pada 15 November lalu.
Bagaimanapun, PKR dipercayai berkemungkinan meletakkan calon pada PRN kali ini, berdasarkan kenyataan Ketua Penerangan PBB, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah , semalam.
Oleh Shahrul Qaizat




