KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menganjurkan empat konvensyen mini tahun ini, dan bukannya satu konvensyen berpusat seperti yang dilakukan setiap tahun susulan pandemik Covid-19.
Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, konvensyen mini pertama akan diadakan di Betong bulan depan, manakala yang selebihnya akan diadakan di Miri, Sibu dan Kuching.
PBB adalah tulang belakang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu gabungan empat parti negeri yang memerintah Sarawak, termasuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
“Kami tidak boleh adakan konvensyen besar-besaran sekarang kerana kebimbangan terhadap keadaan kesihatan susulan situasi semasa pandemik Covid-19. Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg), yang juga presiden parti dijangka merasmikan konvensyen mini ini (Betong),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Walaupun tidak menyatakan konvensyen mini berkenaan mungkin menjadi platform terakhir pucuk pimpinan parti bertemu akar umbi sebelum pilihan raya negeri (PRN), Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri dan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban meminta agar anggota parti sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi PRN.
“Ahli parti perlu bersedia dengan persiapan (pilihan raya). Selain dua parti politik (PKR dan Parti Sarawak Bersatu atau PSB), mungkin ada pihak yang ingin mencuba nasib (untuk bertanding kerusi DUN Bukit Saban pada pilihan raya negeri),” katanya.
Uggah berkata beliau turut menerima maklumat bahawa terdapat beberapa individu yang berhasrat menjadi calon pada PRN kali ini, cuba memperlekehkan sumbangan daripada kerajaan negeri di daerah berkenaan.
Katanya, beberapa individu terbabit melemparkan tuduhan bahawa projek pembangunan tidak diagihkan secara adil di seluruh kawasan tetapi tertumpu di tempat tertentu di Bukit Saban.
“Ini satu pembohongan yang besar. Projek pembangunan telah lama memberi manfaat kepada semua. Kami tahu ada STOLport (lapangan terbang landasan pendek) bernilai RM108 juta di Bebuling untuk membantu Betong/Sarikei yang berpotensi besar sebagai pusat penghasilan makanan.
“Ia bukan projek mega atau mewah seperti yang digambarkan. Semua yang terlibat dalam bidang pertanian akan mendapat keuntungan,” katanya.– BERNAMA