
SARIKEI: Pemantauan kawasan rendah berisiko banjir di sekitar Sarikei pada 10.14 malam tadi mendapati paras air masih terkawal dengan trend air surut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik berkata, rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) tersebut dijalankan di tiga kawasan rendah berisiko banjir.
“Dua orang anggota bomba telah digerakkan bagi memantau keadaan paras air di tebingan Sungai Nyelong, jalan Feri Lama dan Kubu Lama sebagai langkah menghadapi MTL.
“Rondaan pemantauan ini dijalankan sebagai langkah awal bagi menilai situasi semasa dan memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku peningkatan paras air.
“Setakat ini, paras air masih dalam keadaan terkawal dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, hujan sedang berlaku semasa pihaknya menjalankan rondaan pemantauan.
“Tiada sebarang panggilan kecemasan diterima sepanjang rondaan pemantauan dijalankan,” katanya.
Oleh Earl Anek