MIRI: Isu pembangunan infrastruktur, akses jalan raya dan perancangan bandar antara perkara yang diberi perhatian dalam pertemuan antara Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dengan kepimpinan baharu Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Miri, semalam.
Kunjungan hormat itu diketuai Pengerusi IEM Cawangan Miri, Ir Dr Stephanie Chan Yen San, bersama bekas pengerusi, Ir Meheron Selowara Joo serta barisan jawatankuasa cawangan.
Pertemuan berkenaan bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan kepimpinan baharu IEM Miri, malah turut membuka ruang pertukaran pandangan mengenai peranan jurutera dalam menyokong agenda pembangunan Sarawak.
Delegasi turut menjemput Uggah menghadiri majlis makan malam IEM Miri selain memberikan penerangan mengenai pengisian program tersebut.
Antara perkara yang turut dibincangkan ialah penglibatan jurutera wanita dalam IEM serta inisiatif Anugerah Pemimpin Lestari yang memberi penekanan kepada aspek kepimpinan, kejuruteraan dan kelestarian.
Uggah dalam pada itu berkongsi pandangan berhubung cabaran akses di kawasan bekas jalan pembalakan, khususnya membabitkan aspek penyelenggaraan jalan dan lintasan sungai yang penting bagi memastikan hubungan masyarakat luar bandar terus terjamin.
Perbincangan turut menyentuh projek pengorekan yang melibatkan Lembaga Pelabuhan Miri (MPA), selain perancangan pembangunan bandar Miri pada masa hadapan.
Hubungan jalan raya Miri-Marudi turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian, termasuk usaha mempertingkat jaringan perhubungan dan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua kawasan.
Pertemuan itu memperlihatkan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan komuniti profesional, khususnya golongan jurutera, dalam memastikan pembangunan infrastruktur Sarawak terus dirancang secara menyeluruh, berdaya tahan dan memenuhi keperluan masa hadapan.
Turut hadir Ir Chong Boon Hui, Ir Dr Lee Yeong Huei, Ir Julian Jues, Ir Ts Siti Dhamirah ‘Izzati Damni, Ir Ts Cliff Jude Zehnder dan Lim Chuan Jet.
Oleh Adi Safarman





