KUCHING: Pengumuman juara keseluruhan bagi temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXI Sarawak 2024 akan menjadi acara kemuncak yang semestinya ditunggu-tunggukan oleh semua orang.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee berkata, selain pengumuman tersebut, penganugerahan atlet para lelaki dan wanita terbaik turut dinanti-nantikan oleh peminat sukan seluruh negara.
“Tetapi yang penting ialah ‘highlight’ acara untuk majlis penutupan iaitu anugerah juara keseluruhan Para SUKMA ke-21 dan juga anugerah atlet para wanita terbaik dan juga anugerah atlet para lelaki yang terbaik untuk temasya kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas menghadiri sesi raptai penuh Majlis Penutupan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan malam tadi.
Hadir sama pada sesi raptai tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Menteri Bertanggungjawab, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Mengulas mengenai sesi raptai itu, Hii yang juga Ketua Pegawai Eksekutif temasya tersebut memberitahu sesi raptai penuh malam tadi berjalan lancar meskipun terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian lebih.
Majlis penutup malam esok akan menyaksikan seramai 3,000 penonton termasuk para kontinjen dari semua negeri dan tetamu kenamaan yang lain.
“Orang awam itu akan kita jemput melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan melalui pejabat residen serta akan melibatkan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK).
“Jadi, mereka ini akan kita jemput memandangkan kita ada kekangan ruang, maka kita akan menjemput lebih kurang 1,200,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa mereka yang tidak berpeluang untuk hadir boleh menonton secara langsung melalui platform media rasmi seperti Televisyen Sarawak (TVS), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan UKAS.
Antara persembahan yang akan ditampilkan semasa majlis penutupan itu nanti termasuklah persembahan deklamasi sajak, tarian, nyanyian, persembahan bunga api dan persembahan khas daripada kanak-kanak Sedidik Bahagian Kuching. – EDISI UKAS