Kejohanan Terbuka Amatur Sibu Ke-23 tawar enam kereta RM100,000 setiap satu

Facebook
WhatsApp
HADIAH LUMAYAN...Song serta jawatankuasa penganjur merakam kenangan selepas sidang media, hari ini. Turut hadir ialah Wong Tang serta yang lain.

SIBU: Sebanyak enam buah kereta bernilai lebih RM100,000 setiap satu ditawarkan sebagai hadiah bagi pukulan selubang (hole-in-one) pada Kejohanan Terbuka Amatur Sibu Ke-23 yang akan berlangsung di Kelab Golf Sibu dari 18 hingga 20 September ini.

Presiden Kelab Golf Sibu, Dato’ Sri Song Tiing Seng, berkata tawaran hadiah utama itu merupakan antara tarikan baharu pada kejohanan terbesar kelab berkenaan yang kini memasuki edisi ke-23.

Menurutnya, setiap daripada enam lubang par-3 di padang golf berkenaan menawarkan sebuah kereta kepada peserta yang berjaya melakukan pukulan selubang.

“Ini merupakan kali pertama kami menawarkan hadiah utama bagi pukulan selubang seperti ini dan semua peserta mempunyai peluang untuk memenanginya,” ujarnya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, Sibu Amateur Open kali ini mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 140 pemain dari kelab golf di seluruh Sarawak, Sabah dan Brunei.

Katanya, jumlah penyertaan terpaksa dihadkan kepada sekitar 140 peserta berikutan kapasiti padang serta tempoh yang diperlukan pemain untuk bergerak dari satu lubang ke lubang lain sepanjang pertandingan.

“Walaupun jumlah peserta telah dihadkan, masih terdapat senarai menunggu yang panjang daripada pemain yang berminat untuk menyertai kejohanan ini,” katanya.

Song berkata, pertandingan berlangsung selama tiga hari dengan dua hari pertama melibatkan sesi pagi dan petang, manakala hari terakhir membabitkan 36 peserta yang layak, kategori wanita serta kategori tetamu jemputan.

Katanya, kategori tetamu jemputan akan disertai menteri, wakil badan korporat dan penaja, selain upacara pukulan mula (tee-off) yang akan disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting.

Beliau berkata, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, turut dijangka hadir pada hari terakhir kejohanan bagi menyempurnakan penyampaian hadiah.

Selain hadiah pukulan selubang, kejohanan turut menawarkan trofi dan hadiah bagi beberapa kategori pertandingan, dengan penyertaan dibuka kepada pemain yang mempunyai indeks handicap 16 dan ke bawah.

Song turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan badan korporat yang menyokong penganjuran kejohanan berkenaan, termasuk menyediakan enam buah kereta sebagai hadiah utama bagi pukulan selubang.

Turut hadir ialah Captain Wong Lay Nam dan Bendahari Kelab Golf Sibu, Tang Yiew Foo.

Oleh Akun Giman