
SIBU: Pameran pendidikan berperanan penting sebagai platform untuk para pelajar, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lepasan sekolah, menerokai pelbagai peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, pelajar adalah digalakkan untuk bersikap ingin tahu dan terbuka terhadap pelbagai pilihan kursus yang ditawarkan.
“Pelajar harus berani meneroka, ketahui lebih banyak tentang kursus yang ditawarkan dan fahami peluang yang tersedia,” katanya semasa ditemui pada Pameran Pendidikan SMK Methodist, Sibu hari ini.
Chieng yang juga Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah Methodist Sibu memberitahu, bermula tahun 2026, Kerajaan Sarawak akan menyediakan pendidikan percuma untuk kursus-kursus terpilih di universiti milik Sarawak.
“Justeru, saya menyarankan para pelajar agar mengambil peluang daripada pameran ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif tersebut.
Terdahulu dalam ucapannya, Chieng menegaskan bahawa pendidikan bukan semata-mata mengenai pencapaian akademik, tetapi juga proses membentuk individu yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.
“Melalui kerjasama antara alumni, sekolah dan komuniti, marilah kita terus membina masa depan di mana setiap pelajar Methodist dilengkapi dengan kemahiran, keyakinan dan peluang untuk cemerlang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam menjayakan program tahunan berkenaan.
Pameran tahunan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu menampilkan 33 gerai pameran daripada pelbagai institusi pengajian tinggi, menawarkan maklumat dan khidmat nasihat kepada para pelajar.
Oleh Adi Giman