Penunggang motosikal cedera selepas kemalangan kendiri di Sungai Nabau

Facebook
WhatsApp
LELAKI cedera di kedua-dua lutut selepas terbabit dalam kemalangan kendiri ketika menunggang motosikal di Sungai Nabau, Roban, hari ini. Foto APM Saratok

ROBAN: Seorang lelaki cedera pada kedua-dua lutut selepas terbabit dalam kemalangan kendiri ketika menunggang motosikal di Sungai Nabau, di sini, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 3.10 petang yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, empat anggota daripada Skuad Alpha segera digerakkan ke lokasi pada 3.12 petang dan tiba kira-kira 25 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati benar berlaku kemalangan kendiri membabitkan sebuah motosikal dengan mangsa dalam keadaan sedar.

“Mangsa mengalami luka pada kedua-dua lutut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota APM kemudian memberikan rawatan awal dengan membersihkan luka pada kedua-dua lutut mangsa sebelum memasang alat sokongan pada kaki kanannya bagi memberikan sokongan kepada anggota yang cedera.

“Mangsa kemudiannya dipindahkan ke dalam ambulans menggunakan pengusung sebelum dibawa ke Klinik Roban untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Mangsa tiba di Klinik Roban pada 3.53 petang dan urusan penghantaran selesai kira-kira 4.00 petang.

Operasi berkenaan melibatkan empat anggota APM dengan sebuah ambulans dan satu beg perubatan, manakala jarak perjalanan sehala ke lokasi kejadian adalah kira-kira 24 kilometer.

Oleh Adi Safarman