45 pelajar, 15 guru SMK Saratok ikuti Latihan Keselamatan anjuran APM

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 67 peserta terdiri daripada anggota APM, guru dan pelajar SMK Saratok menyertai Program Pembudayaan Generasi MADANI: Karnival Kita Generasi MADANI di sekolah berkenaan, semalam. Foto APM Saratok

SARATOK: Seramai 67 peserta terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok menyertai Program Pembudayaan Generasi MADANI: Karnival Kita Generasi Madani di sekolah berkenaan, semalam.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, program yang berlangsung dari 3.00 petang hingga 5.30 petang itu melibatkan tujuh anggota APM, 45 pelajar dan 15 guru.

Menurutnya, program berkenaan memberi pendedahan kepada warga sekolah mengenai pengetahuan asas keselamatan dan tindakan awal ketika berdepan situasi kecemasan.

“Antara silibus yang disampaikan ialah menyelamat kecemasan, kaedah menangani mangsa tercekik (choking), bantuan pernafasan dan pemulihan jantung (CPR), serta teori berkaitan haiwan berbisa menerusi tayangan video mengenai ular,” katanya.

Beliau berkata, pengisian berkenaan penting bagi membolehkan pelajar dan guru memahami tindakan yang wajar diambil sementara menunggu bantuan kecemasan tiba, khususnya ketika berdepan insiden yang tidak dijangka.

Program bermula apabila tujuh anggota APM bergerak ke SMK Saratok pada 2.55 petang sebelum sesi pembelajaran dan demonstrasi dijalankan kepada peserta.

“Sesi penyampaian silibus selesai pada 5.20 petang dan diteruskan dengan sesi penyampaian penghargaan daripada pihak sekolah serta cenderahati daripada APM Saratok pada 5.22 petang,” katanya.

Nur Athirah berkata, keseluruhan program berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Program itu turut menjadi platform kepada APM Saratok untuk memperkukuh kesedaran keselamatan dalam kalangan generasi muda melalui pengetahuan praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Oleh Adi Safarman