KUCHING: Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) menzahirkan ucapan tahniah kepada presidennya, Ts. Rizzo Mungka Rechie, atas pelantikan sebagai Penasihat Industri bagi Program Asasi dalam Teknologi di bawah Pusat Pengajian Asasi dan Persediaan (CENFES), Kolej Universiti i-CATS.
Pelantikan itu dibuat serentak dengan pemilihan beliau sebagai Anggota Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan dan Industri Dayak (DCCI) bagi penggal 2026 hingga 2029.
SDGA dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua peranan berkenaan memperlihatkan pengiktirafan terhadap komitmen berterusan Ts. Rizzo dalam bidang pendidikan, pembangunan graduan, keusahawanan serta usaha memperkukuh kemajuan komuniti Dayak.
Menurutnya, tanggungjawab baharu di i-CATS CENFES memberi peluang kepada Ts. Rizzo untuk menyumbang kepada usaha memperkasa pendidikan yang lebih selari dengan keperluan industri.
Pendekatan itu, katanya, penting bagi memastikan pendidikan tinggi bukan sekadar menjadi laluan untuk mendapatkan pekerjaan, sebaliknya mampu melahirkan generasi pencipta peluang dan peneraju inovasi pada masa hadapan.
“Ts. Rizzo berharap pendidikan dapat menjadi landasan kepada graduan Dayak untuk membangunkan kemahiran, keyakinan serta pemikiran berorientasikan industri agar mereka bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan, malah mampu menjadi pencipta pekerjaan dan peneraju inovasi,” menurut kenyataan tersebut.
SDGA berkata, peningkatan akses kepada pendidikan tinggi menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) turut membuka peluang untuk tumpuan diperluaskan kepada usaha membantu graduan menterjemahkan ilmu dan kepakaran kepada peluang, inovasi serta sumbangan yang lebih besar kepada pembangunan Sarawak.
Dalam perkembangan sama, penglibatan Ts. Rizzo dalam Majlis Tertinggi DCCI bagi penggal 2026 hingga 2029 membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh hubungan antara bakat Dayak, teknologi, jaringan bimbingan, peluang keusahawanan dan pasaran antarabangsa.
“Melalui kerjasama lebih kukuh antara akademia, industri dan komuniti, beliau berharap dapat mewujudkan laluan yang membolehkan graduan memperoleh pendedahan kepada dunia sebenar, membangunkan keupayaan keusahawanan serta mengambil bahagian dalam sektor berpotensi tinggi,” jelas SDGA.
Menurut SDGA, usaha berkenaan memberi penekanan kepada pembinaan jaringan yang lebih kukuh daripada pendidikan kepada peluang, seterusnya daripada peluang kepada kepimpinan.
“Fokus bersama kita kini ialah penciptaan nilai, memastikan setiap graduan mempunyai rangkaian, pendedahan dan sokongan komersial yang diperlukan untuk mengubah idea tempatan menjadi usaha niaga yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” kata Ts. Rizzo seperti dipetik dalam kenyataan itu.
SDGA berkata, kerjasama antara institusi pendidikan, pemain industri dan komuniti amat penting bagi memastikan bakat graduan tidak terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya terus berkembang melalui pengalaman, jaringan dan peluang perniagaan.
Tambahnya, penglibatan dalam kedua-dua peranan strategik itu diharap dapat memperkukuh usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut memiliki kemahiran industri, daya keusahawanan dan keupayaan mencipta nilai.
SDGA turut menzahirkan harapan agar Ts. Rizzo Mungka Rechie terus berjaya melaksanakan amanah baharu berkenaan serta menjadi pemangkin kepada agenda pemerkasaan graduan, pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi komuniti Dayak Sarawak.
Oleh Adi Safarman




