KUCHING: Suasana mesra dan santai mewarnai sesi ramah mesra bersama penyanyi Fajar Noor di Star On Stage (S.O.S), Kuching, malam ini.
Program anjuran Star On Stage (S.O.S) dengan kerjasama Universal Music Malaysia itu memberi ruang kepada peminat untuk bertemu secara lebih dekat dengan penyanyi berkenaan dalam suasana yang lebih santai.
Sesi berkenaan turut membuka peluang kepada Fajar Noor berinteraksi secara langsung dengan peminat, selain berkongsi perkembangan perjalanan seninya dan karya yang dihasilkan.
Menurut Fajar, antara perkara paling mencabar sepanjang bergelar penyanyi adalah ketika menyampaikan lagu yang mempunyai kaitan rapat dengan kisah sebenar dalam hidupnya.
“Yang paling mencabar selama saya menjadi performer adalah ketika saya harus menyanyikan lagu sesuai dengan lirik yang sudah saya sampaikan.
“Setiap kali saya menyanyi, saya harus menyampaikan lirik yang benar-benar nyata berdasarkan kisah sebenar,” jelasnya.
Menurutnya, lagu Tuhan atau Kita Saling Cinta antara karya yang dekat dengan pengalaman peribadinya apabila pernah melalui kisah cinta berbeza agama.
“Dulu, saya pernah merasakan cinta berbeza agama. Sebenarnya kami sama-sama saling mencintai, tetapi harus dipisahkan oleh agama dan juga restu orang tua.
“Jadi, saya menghasilkan lagu ini dengan emosi yang sangat kuat. Itu yang paling berat bagi saya,” ujar Fajar.
Dalam pada itu, Fajar yang pertama kali berkunjung ke Sarawak menyifatkan pertemuannya dengan peminat di Kuching sebagai pengalaman yang menggembirakan.
Katanya, sambutan diterima di Sarawak turut membuatkannya teringin untuk meneroka lebih banyak tempat di negeri ini.
“Saya sangat-sangat happy dapat bertemu dengan kalian semua. Ini merupakan kali pertama saya datang ke Sarawak.
“Ternyata apabila melihat orang-orang Sarawak, semuanya ganteng, cantik dan baik juga. Jadi rasanya senang banget dan saya ingin explore Sarawak,” katanya.
Malah, Fajar tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke Sarawak bagi mengadakan persembahan pada masa akan datang.
“Kayaknya saya pengin banget buat konsert di Sarawak. Mungkin konsert, atau mungkin saya boleh tiba-tiba datang ke sini untuk sebuah festival.

“Tapi kalau daripada diri saya sendiri, saya pengin menyanyikan satu album saya di Sarawak. Semoga boleh terjadi,” ujar penyanyi itu.
Dalam pada itu, Fajar turut merakamkan penghargaan kepada peminat di Sarawak yang mengikuti perjalanan seninya sejak kemunculan dalam program realiti nyanyian Indonesian Idol sehingga kini.
Menurutnya, peminat bukan sekadar penyokong kerjayanya, malah sudah dianggap sebagai teman untuk berkongsi cerita dan sebahagian daripada keluarga.
“Bagi saya, peminat bukan hanya sekadar teman, tetapi juga teman untuk bercerita, malah sudah menjadi keluarga.
“Justeru, mereka yang membuat saya terus bersemangat untuk berkarier. Buat teman-teman Sarawak yang mengikuti perjalanan Fajar dari Indonesian Idol sampai sekarang, sampai di titik ini, terima kasih banyak,” ujarnya.
Ditanya mengenai kemungkinan menghasilkan lagu yang lebih rancak untuk album akan datang, Fajar berkata beliau terbuka untuk meneroka pelbagai genre muzik.
Katanya, walaupun dirinya lebih sinonim dengan lagu-lagu bernuansa galau, beliau tetap mempunyai keinginan untuk menguasai genre muzik yang berbeza.
“Saya pengin banget boleh menguasai semua genre yang ada dalam muzik, kecuali rock dan dangdut. Selebihnya saya pengin cuba,” tambahnya.
Fajar Noor, atau nama sebenarnya Fajar Nurdiansyah, mula mendapat perhatian ramai selepas muncul sebagai naib juara program realiti nyanyian Indonesian Idol musim ke-13 pada 2025.
Penyanyi kelahiran Medan, Sumatera Utara itu kemudiannya mengorak langkah dalam industri muzik menerusi single sulungnya, Tahta Hatiku #Pendampingmu, yang dicipta oleh Yovie Widianto dengan lirik oleh Arsy Widianto.
Pada 2026, Fajar meneruskan perjalanan seninya menerusi album sulung Sementara, Selamanya yang mengetengahkan kisah cinta, kehilangan dan harapan berdasarkan pengalaman peribadinya.
Fajar berada di Kuching bagi menjayakan persembahan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam esok
Sesi ramah mesra di Kuching itu sekali gus memberi peluang kepada peminat Sarawak untuk mengenali Fajar dengan lebih dekat selain mengikuti perkembangan terbaharu perjalanan seninya.
Oleh Adele Rissa




