KUCHING: Seramai 50 peserta terdiri daripada murid, ibu bapa dan guru menyertai Program Kesedaran Hidupan Liar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sibu Laut dalam usaha memupuk kesedaran awal mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan liar di Sarawak.
Menurut kenyataan media Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), program berkenaan memberi penekanan kepada pemuliharaan spesies ikonik Sarawak, khususnya orang Belanda, selain meningkatkan kefahaman peserta mengenai kepentingan melindungi habitat semula jadi.
Program tersebut turut memperkenalkan kawasan hutan bakau di Taman Negara Tanah Lembap Kuching sebagai habitat penting orang Belanda, yang merupakan sebahagian daripada kawasan Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar).
Selain orang Belanda, peserta turut diberi pendedahan mengenai kepentingan ekosistem hutan bakau menerusi sesi khas yang disampaikan oleh Pertubuhan Warisan Bakau Sarawak (SABAKAU).
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Guru Besar SK Sibu Laut, Zurratul’ain Bukhari, yang berkongsi mengenai keunikan kehidupan masyarakat Kampung Sibu Laut yang mempunyai hubungan rapat dengan ekosistem hutan bakau.
Sesi perkongsian kemudian diteruskan dengan ceramah oleh Pegawai Hidupan Liar SFC, Sophia Sik, yang mengetengahkan pelbagai fakta menarik berkaitan orang Belanda.
Dalam sesi sama, beliau turut memberi penekanan terhadap kesan pencemaran sungai terhadap populasi buaya serta kepentingan mengambil langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko konflik antara manusia dengan buaya.
Sementara itu, wakil SABAKAU, Abdul Razak Abdullah, menerangkan nilai ekonomi dan ekologi ekosistem hutan bakau kepada masyarakat dan alam sekitar.
Menurut beliau, beberapa spesies pokok bakau dilindungi di bawah Ordinan Hidupan Liar 1998. Justeru, lesen sah diperlukan sebelum sebarang aktiviti penanaman atau penjualan produk berasaskan bakau dijalankan.
Program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti interaktif bagi memastikan mesej pemuliharaan dapat difahami dengan lebih mudah oleh murid.
Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk sesi soal jawab, kuiz berkaitan hidupan liar dan pertandingan mewarna bertemakan hidupan liar, sekali gus memberi peluang kepada murid untuk belajar melalui pendekatan yang lebih santai dan menyeronokkan.
SFC berkata, pendekatan sedemikian penting dalam membentuk generasi muda yang lebih memahami peranan mereka dalam menjaga hidupan liar dan kelestarian alam sekitar.
Acara diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh SFC kepada Guru Besar SK Sibu Laut serta penceramah daripada SABAKAU, selain penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna.
Sesi penyampaian hadiah itu turut disaksikan oleh Ketua Projek, Yonny Stanly Anyie, dan Renjer Taman Negara Tanah Lembap Kuching, Mohd. Firdaus Suieb.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Penolong Kanan Kokurikulum Ustaz Lokman Shawal Hazali serta Yang Dipertua PIBG merangkap Ketua Kaum Kampung Sibu Laut, Senep Yasin.
Oleh Adi Safarman




