KUCHING: Masyarakat perlu memainkan peranan bersama dalam melindungi infrastruktur utiliti awam bagi memastikan kesinambungan bekalan elektrik ke seluruh kawasan di Sarawak tidak terjejas.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerjasama orang ramai amat penting bagi membantu pihak utiliti menangani cabaran termasuk kegiatan vandalisme dan gangguan terhadap infrastruktur elektrik.
Menurutnya, sebarang tindakan merosakkan atau mengganggu kemudahan utiliti berpotensi menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan harian masyarakat.
“Jika melihat sebarang kejadian seperti vandalisme atau gangguan terhadap infrastruktur awam di kawasan masing-masing, sila salurkan maklumat kepada pihak kami supaya gangguan bekalan elektrik dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum majlis penyampaian hadiah Sarawak Energy Marathon 2026, di sini, hari ini.
Julaihi berkata, memastikan semua kawasan dan penempatan di Sarawak terus menerima bekalan elektrik merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul semua pihak.
Katanya, perkara itu merangkumi kawasan bandar, pinggir bandar serta luar bandar bagi memastikan perkhidmatan utiliti dapat disalurkan secara berterusan kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut memuji penganjuran Sarawak Energy Marathon 2026 yang mencatatkan penyertaan 8,544 peserta dari Sarawak, Malaysia dan luar negara termasuk Kenya.
Menurutnya, peningkatan jumlah penyertaan selepas penjenamaan semula acara berkenaan menunjukkan sambutan menggalakkan daripada masyarakat, selain berpotensi menarik lebih ramai peserta pada edisi akan datang.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros, Datuk Ibrahim Baki; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili serta dif kenamaan lain.





