KABONG: Kerajaan Sarawak akan terus membela nasib golongan nelayan melalui pelbagai dasar yang direka bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup mereka, malah memberi manfaat kepada masyarakat secara umum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata golongan itu perlu dibela kerana mereka memainkan peranan penting dalam menggerakkan rantaian ekonomi negeri.
“Adalah penting buat kita untuk terus mempertahankan komuniti nelayan, untuk itu kita perlu memastikan mereka mendapat manfaat dan pendapatan yang setanding dengan bidang pekerjaan yang lain.
“Kebajikan golongan nelayan di negeri ini sentiasa terbela melalui limpahan pelbagai program pembangunan dan kemudahan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi mereka khususnya nelayan miskin dan berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata semasa melakukan tinjauan di Pusat Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat dekat sini baru-baru ini.
Kerajaan Sarawak jelas Chee Kadir telah banyak membantu menyediakan pelbagai kemudahan untuk nelayan dari segi infrastruktur dan kemudahan lain.
“Kerajaan Sarawak tidak pernah mengabaikan nasib golongan nelayan di negeri ini. Pelbagai bantuan telah disediakan bagi membantu golongan nelayan.
“Kita berharap segala kemudahan dan bantuan sampai kepada golongan sasar seiring usaha mentransformasikan sektor perikanan dan menjadikan ia salah satu faktor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” ujarnya.
Katanya, pelbagai kemudahan serta bantuan telah disediakan oleh pihak kerajaan kepada golongan nelayan di negeri ini termasuk di Kabong yang merupakan antara perkampungan Melayu dan nelayan yang terbesar di negeri Sarawak.
Sehubungan itu, Chee Kadir mengingatkan penduduk di kawasan itu untuk bersatu hati, jangan berpecah belah antara satu sama lain dan terus memberi mandat kepada Kerajaan GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.
Tegasnya, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ikhlas membantu masyarakat di kawasan luar bandar khususnya di kawasan daerah Kabong, dan ini dapat dilihat melalui perubahan dari segi pembangunan yang telah dibuat oleh Kerajaan Sarawak di kawasan DUN Kabong.
Oleh ADI SAFARMAN