KAPIT: Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bantuan segera berjumlah RM41,500 untuk mangsa banjir Rumah Dennis Langok.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit itu berkata, penduduk rumah panjang itu mengalami kerugian kira-kira RM200,000 membabitkan kerosakan harta benda dalam kejadian yang berlaku pada 27 November lalu.
“Saya akan memberikan bantuan segera RM1,000 kepada 20 keluarga terjejas yang duduk di bahagian bawah rumah panjang ini dan RM500 untuk 43 lagi penduduk di sini yang turut terkesan kerana bencana alam ini.
“Selain itu, selepas mengadakan perbincangan dengan ketua rumah Rumah Dennis, saya juga bersetuju untuk menampung kos menyimen semula halaman rumah panjang yang telah rosak serta memberi sumbangan satu bot untuk digunakan pada waktu kecemasan.
“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir di Rumah Dennis selain bantuan daripada kerajaan negeri di bawah Program Bencana Alam Negeri yang mungkin atau sudah diterima oleh mereka,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Nanta mengambil kesempatan untuk meninjau keadaan rumah panjang di Amang Ulu, Jalan Selirik di sini sempena Program 100 Tahun Perdamaian Kapit pada hujung minggu lalu.
Beliau berkata, dalam kejadian pada 27 November lalu, Rumah Dennis dinaiki air seawal 6.00 pagi dan telah menenggelamkan hampir kesemua kenderaan yang diparkir di kawasan rumah panjang berkenaan.
“Kejadian banjir ini turut mengorbankan seorang mangsa iaitu Bangau Amping, 75, yang merupakan pesara paderi selepas terperangkap di dalam kereta akibat banjir yang melanda di kawasan itu,” katanya.
Nanta menambah bahawa beliau telah melawat rumah panjang tersebut pada bulan September untuk memantau kemajuan kerja-kerja naik taraf selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluluskan peruntukan sebanyak RM1.3 juta tahun lalu.
“Saya amat menghargai sumbangan yang diluluskan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana proses naik taraf itu membantu menyelamatkan rumah panjang ini daripada mengalami kerosakan yang lebih teruk akibat banjir,” katanya.