
SIMANGGANG: Projek menaik taraf sistem saliran di Rumah Charli Ata, Kampung Pruan A telah siap dilaksanakan sepenuhnya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata peruntukan berjumlah RM200,000 melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tujuan menaik taraf sistem saliran di rumah itu.


“Peruntukan projek tersebut daripada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Saya akan sedaya upaya memenuhi permintaan penduduk untuk menyediakan prasarana yang dapat memberi manfaat langsung kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan tapak projek RTP naik taraf sistem saliran di Rumah Charli Ata, Kampung Pruan A dan lawatan tapak lokasi cadangan bina baharu ‘RC Crossing’ di sini hari ini.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menjelaskan, terdapat cadangan projek baharu pembinaan ‘RC Crossing’ yang dimohon oleh penduduk dari Rumah Charli, Kampung Pruan A, Rumah Ipan, Kampung Pruan B, Rumah Robert, Kampung Nanga Pruan dan Rumah Ayai, Kampung Putat.
Cadangan bina baharu 13 ‘RC Crossing’ bakal menjadi kenyataan apabila sesi lawatan tapak oleh ADUN Simanggang itu terhadap lokasi yang bakal dibina dan ini diambil tindakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat kertas kerja termasuk anggaran kos pembinaan.
Sementara itu, Tuai Rumah Charli Ata yang mewakili penduduk rumah panjang berkenaan mengucapkan terima kasih kepada agensi pelaksana amnya dan kepada wakil rakyat khasnya kerana telah menyalurkan peruntukan untuk projek membina parit yang banyak memberi manfaat kepada penduduk rumah panjang terbabit.
Beliau menyatakan, sejak parit tersebut siap masalah banjir yang kerap berlaku di rumah panjang telah dapat diselesaikan dan ini banyak membantu dalam mengurangkan kerosakan dan kemusnahan harta benda akibat banjir.
Oleh Adi Saparman