SARIBAS: Projek menaik taraf Masjid Darul Ibadah baharu fasa dua di Kampung Medang di sini yang bernilai keseluruhan RM500,000 akan bermula dalam tempoh masa terdekat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, skop projek fasa kedua berkenaan adalah meliputi pembinaan tapak parkir, pintu masuk baharu dan pagar, serta penyambungan bekalan elektrik.
“Projek menaik taraf infrastruktur fasa kedua di Masjd Darul Ibadah baharu ini akan bermula dalam masa terdekat dan kontraktor telahpun dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana,” katanya selepas melakukan tinjauan ringkas kemajuan perlaksanaan projek fasa pertama di masjid berkenaan, hari ini.
Razi juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, projek tersebut juga merupakan salah satu usaha pihaknya meningkatkan kemudahan infrastruktur di masjid berkenaan yang menjadi tumpuan komuniti dan pusat ibadah penduduk setempat di Kampung Medang.
“Saya amat berbesar hati dapat menyumbang kepada pembangunan Masjid Darul Ibadah yang baharu di Kampung Medang ini.
“Apabila siap nanti (projek fasa kedua), ia bukan sahaja akan memberikan keselesaan kepada jemaah tetapi juga dapat mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk di sini khasnya,” jelas beliau.
Semasa lawatan ringkas tersebut, Razi turut melakukan penyerahan cek peruntukan daripada Jabatan Premier Sarawak kepada pihak pengurusan masjid yang berjumlah RM39,900.
Peruntukan tersebut adalah bagi tujuan pemasangan karpet Masjid Darul Ibadah Kampung Medang yang disampaikan Ketua Kampung Medang, Shafiee Lugom sambil disaksikan oleh barisan ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Darul Ibadah yang turut hadir pada sesi ringkas berkenaan.
Sementara itu, Ketua Kampung Medang, Shafiee Lugom ketika ditemui amat bersyukur dengan peruntukan yang diterima daripada Jabatan Premier tersebut. Baginya, peruntukan itu amat bermakna kepada pihak masjid terutamanya daripada aspek keselesaan para jemaah ketika menunaikan ibadah.
“Pemasangan karpet yang disumbangkan melalui peruntukan daripada Jabatan Premier Sarawak ini akan memberi keselesaan yang lebih kepada para jemaah, terutamanya semasa menunaikan solat di masjid.
“Terima kasih tidak terhingga di atas sumbangan ini, projek fasa kedua di masjid berkenaan apabila siap kelak akan dapat menyediakan tempat yang lebih baik dan selesa kepada komuniti Kampung Medang untuk beribadah dan menjalankan aktiviti keagamaan,” katanya.
Oleh Adi Safarman