SIBU, 20 November: Cadangan pembangunan terminal bas baharu Sibu Sentral merupakan antara inisiatif penting Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dalam memperkukuh hubungan pengangkutan awam dan menyokong aspirasi Sibu sebagai pusat serantau.
Pengerusi MPS, Clarence Ting berkata, pembangunan itu mencerminkan visi bersama untuk mewujudkan Sibu yang lebih terhubung, mudah diakses, inklusif dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.

“Cadangan ini bukan sekadar pembangunan sebuah kemudahan pengangkutan, tetapi mencerminkan visi bersama untuk mewujudkan Sibu yang mempunyai hubungan lebih baik, mudah diakses, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sibu Sentral Sdn Bhd dengan MPS bagi cadangan pembangunan terminal bas baharu Sibu Sentral yang disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Menurutnya, Sibu kini berada pada tahap penting dalam proses transformasi, seiring dengan pertumbuhan penduduk dan perkembangan aktiviti ekonomi yang memerlukan infrastruktur serta kemudahan awam terus dipertingkatkan.

Sehubungan itu, pembangunan terminal bas baharu berkenaan dilihat sebagai satu lagi komponen penting dalam usaha memperkukuh peranan Sibu sebagai pusat serantau, khususnya dari aspek hubungan pengangkutan awam.
Ting berkata, terminal itu perlu dirancang sebagai hab pengangkutan moden yang menyediakan hubungan lebih baik, kemudahan dan aksesibiliti kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Beliau turut menegaskan bahawa aspek keterangkuman perlu diberikan perhatian dalam pembangunan terminal berkenaan, termasuk memenuhi keperluan kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, penekanan terhadap mobiliti inklusif itu selaras dengan aspirasi MPS untuk menjadikan Sibu sebuah bandar mesra usia dan mesra kanak-kanak, dengan kemudahan awam yang boleh diakses serta dimanfaatkan semua lapisan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sibu Sentral Sdn Bhd atas kerjasama dan komitmen dalam cadangan pembangunan itu, sambil berharap kerjasama berkenaan dapat membawa manfaat jangka panjang kepada Sibu dan penduduknya.
Oleh Tarani Lanting




