TEBEDU, 20 November: Seramai 53 warga negara Indonesia (WNI) yang ditahan di Depot Imigresen Semuja dipindahkan ke negara asal melalui laluan darat menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, semalam.
Pemindahan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak pada 19 November itu melibatkan 33 lelaki dewasa, 18 perempuan dewasa dan dua kanak-kanak perempuan.
Operasi yang bermula pada 8.00 pagi itu dilaksanakan dengan pengiringan pegawai Depot Imigresen Semuja menggunakan kenderaan jabatan serta sebuah bas sewaan bagi memastikan perjalanan dan proses penyerahan berjalan lancar.

Kesemua 53 individu terbabit kemudian diserahkan dengan selamat kepada Staf Teknis Imigrasi, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kuching, Louis Stefanus Gregory Kaunang, untuk tindakan selanjutnya.
JIM Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keseluruhan proses pemindahan dan penyerahan itu berjalan dengan baik, selamat serta terkawal hasil penyelarasan dan kerjasama antara pihak imigresen Malaysia dengan perwakilan Republik Indonesia.
Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap urusan pemindahan tahanan ke negara asal dilaksanakan secara teratur, selamat dan mengikut prosedur serta peraturan imigresen yang berkuat kuasa.
Oleh Afiq Sallehi



