SADONG JAYA, 20 November: Kesedaran terhadap keselamatan siber dan kepentingan memelihara alam sekitar terus diperkasa menerusi Program Keselamatan Siber, Generasi Bijak dan Kemampanan 3R anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sadong Jaya, semalam.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran masyarakat, khususnya golongan pelajar dan warga emas, mengenai ancaman keselamatan digital selain memupuk amalan penjagaan alam sekitar dalam kehidupan seharian.
Menurut kenyataan media MPKS, program itu memberi penekanan terhadap dua aspek penting dalam kehidupan masyarakat masa kini, iaitu penggunaan teknologi secara selamat dan tanggungjawab bersama memastikan kelestarian alam sekitar.
Bagi pengisian keselamatan siber, pelajar Tingkatan Empat mengikuti sesi ceramah dan perkongsian ilmu yang disampaikan oleh wakil Klinik Kesihatan Asajaya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Hospital Umum Sarawak (SGH) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Antara perkara yang diketengahkan termasuk keselamatan ketika melayari internet, penggunaan media sosial secara berhemah, penjagaan kesihatan serta aspek keselamatan diri.
Program itu turut menyasarkan golongan warga emas, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi memberikan pendedahan mengenai ancaman jenayah siber.
Mereka diberikan penerangan mengenai pelbagai modus operandi penipuan, termasuk penipuan dalam talian, panggilan telefon palsu dan taktik memperdaya mangsa menerusi platform digital.
Pendedahan tersebut penting bagi memastikan masyarakat lebih berwaspada, mampu mengenal pasti cubaan penipuan serta mengambil langkah pencegahan bagi melindungi diri dan ahli keluarga.
Dalam pada itu, usaha menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar turut diteruskan menerusi Pertandingan Sudut 3R yang melibatkan pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga.
Pertandingan itu menggalakkan pelajar menghayati konsep Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula (Reduce, Reuse and Recycle) melalui penghasilan sudut 3R yang kreatif, menarik dan informatif di dalam kelas masing-masing.
Selain mencungkil kreativiti, aktiviti berkenaan turut mendidik pelajar memanfaatkan bahan terpakai serta memahami kepentingan pengurusan sisa secara sistematik.
Antara amalan yang ditekankan ialah pengasingan sisa mengikut kategori, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta mengitar semula bahan seperti kertas, plastik dan tin.
MPKS berharap kesedaran yang dipupuk menerusi pertandingan itu dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian, bukan sahaja di sekolah malah turut diamalkan di rumah dengan penglibatan seluruh ahli keluarga.
Hadir mewakili Pengerusi Majlis ialah Dr. Sopian Bujang, bersama Pengetua SMK Sadong Jaya, Hajijah Mohtar, Ahli-ahli Majlis, wakil PIBG, KMKK, warga emas, guru, staf MPKS serta para pelajar.
MPKS berharap program berkenaan dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai kepentingan keselamatan digital serta memperkukuh tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.
Inisiatif itu memperlihatkan komitmen MPKS untuk membentuk komuniti yang celik digital, sentiasa mengutamakan keselamatan serta membudayakan gaya hidup lestari demi kesejahteraan generasi akan datang.
Oleh Adi Safarman




