PETRA JAYA, 20 November: Rumah Panjang Melanau di Kampung Sok, Matu yang mempunyai nilai sejarah tersendiri bakal diberi perhatian untuk kerja-kerja pemuliharaan dan baik pulih bagi memastikan warisan unik masyarakat Melanau itu terus terpelihara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bangunan berkenaan merupakan antara warisan penting yang wajar dipertahankan untuk tatapan generasi akan datang.
Menurutnya, pihak muzium telah mengadakan lawatan ke rumah panjang berkenaan kira-kira dua minggu lalu bagi menilai keadaan serta mengenal pasti keperluan kerja pemuliharaan.
Katanya, bangunan yang dipercayai dibina menggunakan keseluruhan kayu belian itu memerlukan kerja baik pulih walaupun bahan berkenaan terkenal dengan ketahanannya.
“Rumah Panjang Melanau di Kampung Sok adalah satu daripada bangunan warisan yang kita harap dapat dinaik taraf dan dibaik pulih untuk tatapan anak cucu serta orang awam.
“Kita akan melihat perkara ini dan memberikan keutamaan kepadanya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, usaha pemuliharaan bangunan warisan memerlukan kos yang tinggi dan penelitian teliti, justeru sumber kewangan perlu dikenal pasti bagi memastikan kerja berkenaan dapat dilaksanakan.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Muzium Sarawak sempena ulang tahun ke-135 Bangunan Lama Muzium Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Rumah Panjang Melanau Kampung Sok di Matu dipercayai dibina sekitar 1872 dengan hanya empat pintu sebelum diperbesarkan kepada 26 pintu pada 1888 menerusi usaha gotong-royong penduduk setempat.
Bangunan berusia lebih 150 tahun itu mempunyai ukuran kira-kira 64 meter panjang dan 12.2 meter lebar, dengan struktur asal menggunakan kayu belian serta atap daripada daun rumbia.
Keunikan rumah panjang berkenaan terletak pada seni bina tradisional masyarakat Melanau yang mencerminkan cara hidup dan sejarah penempatan masyarakat itu pada zaman dahulu.
Kedudukannya yang berhampiran sungai turut berkait rapat dengan kehidupan penduduk ketika itu yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan petani.
Rumah panjang berkenaan turut dianggap sebagai satu-satunya peninggalan rumah panjang tradisional Melanau yang masih wujud di Sarawak, sekali gus menjadikannya khazanah warisan yang mempunyai nilai sejarah dan budaya tinggi.
Usaha pemuliharaannya pernah dibangkitkan sebelum ini, termasuk cadangan menjadikannya sebagai tarikan pelancongan dan muzium hidup bagi memperkenalkan warisan masyarakat Melanau kepada generasi akan datang.
Oleh Shahrul Qaizat




