11 warga China dipindahkan ke negara asal melalui laluan udara

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI Imigresen mengiringi proses pemindahan 11 warga China dari Depot Imigresen Semuja ke negara asal melalui laluan udara semalam.

KUCHING, 20 November: Seramai 11 warga negara China yang ditempatkan di Depot Imigresen Semuja dipindahkan ke negara asal mereka melalui laluan udara semalam.

Pemindahan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak itu melibatkan 10 lelaki dan seorang perempuan dengan diiringi pegawai Depot Imigresen Semuja.

Operasi berkenaan turut mendapat bantuan anggota Unit Iring Kawal serta AMRA, Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching bagi memastikan keselamatan dan kelancaran proses pemindahan sehingga kesemua individu terbabit tiba di destinasi.

OPERASI pemindahan 11 Orang Yang Dipindahkan (OYD) melibatkan 10 lelaki dan seorang perempuan warganegara China dilaksanakan dengan kawalan keselamatan oleh pegawai dan anggota penguat kuasa imigresen.

JIM Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keseluruhan proses pemindahan 11 Orang Yang Dipindahkan (OYD) itu berjalan lancar, selamat dan terkawal hasil kerjasama serta komitmen semua pegawai dan anggota yang terlibat.

Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap urusan pemindahan OYD ke negara asal dilaksanakan secara teratur dan sistematik, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan imigresen yang berkuat kuasa.

Oleh Afiq Sallehi