KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) melaksanakan Operasi Bersepadu Rabies di kawasan MPP menangkap anjing liar selama dua hari bermula kelmarin hingga hari ini (8 Julai).
Operasi turut disertai dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Jabatan Veterinar, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan yang kerap menerima aduan.
Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang berkata, sumber dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melaporkan bahawa di kawasan pentadbiran Majlis pada 2019, kes gigitan anjing adalah sebanyak 5,987 kes dan hanya empat kes rabies dilaporkan.
“Manakala pada 2020, minggu pertama hingga minggu ke-27, sebanyak 1,637 kes gigitan telah dilaporkan dan tiada sebarang kes Rabies,” kata Lo.
Beliau berkata demikian semasa berucap di perasmian Ops Bersepadu Rabies kawasan MPP di Pekarangan Pejabat MPP, di sini, semalam.
Sementara itu, katanya, pada 2019, MPP telah menerima sebanyak 479 aduan anjing liar dan sebanyak 963 ekor anjing liar berjaya ditangkap tahun lalu.
“Manakala, dalam tempoh enam bulan pertama (Januari sehingga Jun) 2020, MPP mencatatkan rekod aduan sebanyak 189 kes manakala sebanyak 394 ekor anjing berjaya ditangkap,” katanya.
Lo memberitahu, wabak Covid-19 sudah terkawal dan kita melakukannya dengan baik untuk melawan Covid-19 tetapi kita tidak boleh melupakan bahawa Rabies masih ada.
Tambahnya, operasi pada 7 Julai bermula 8.30 pagi hingga 11.30 pagi di Kuching City Mall, Desa Wira, MJC Batu Kawa dan Batu Kawa Old Bazaar manakala 2.30 petang hingga 4.30 petang di Moyan Square, Taman Moyan dan Taman Genesis.
“Bagi operasi pada 8 Julai bermula 7.30 pagi hingga 10.30 pagi, adalah di Flat Taman Seri Makmur dan Taman Kopodims manakala 2.30 petang hingga 4.30 petang adalah di Taman Matang Jaya, Lee Ling Commercial Centre dan Taman Lee Ling,” katanya.
Beliau menegaskan, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melepaskan anjing peliharaan sesuka hati kerana ia boleh mengancam orang yang lalu lalang, di samping berisiko untuk terkena jangkitan Rabies sekiranya anjing peliharaan berkenaan bergaul dengan anjing liar yang lain yang tidak diketahui status jangkitan mereka.
“Anjing yang telah mendapat vaksin perlu dikurung di dalam kawasan rumah,” ujarnya.
Oleh Cheryl Law