SRI AMAN, 27 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, hari ini menyempurnakan Majlis Pelancaran Bilik Gerakan dan Jentera Pilihan Raya GPS Bukit Begunan di Kampung Gua, di sini.
Pelancaran itu menandakan kesiapsiagaan jentera GPS Bukit Begunan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) yang bakal berlangsung, selain memperkukuh gerak kerja kempen di peringkat akar umbi.
Pada majlis berkenaan, Mong turut meninjau persiapan akhir bilik gerakan bagi memastikan segala keperluan dan penyelarasan jentera berada pada tahap terbaik menjelang hari penamaan calon esok.
Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera pilihan raya GPS DUN Bukit Begunan atas komitmen dan usaha yang dilaksanakan bagi memastikan persiapan berjalan lancar serta teratur.
“Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh jentera pilihan raya GPS Bukit Begunan atas segala persiapan yang telah dilaksanakan.
“Saya berharap semua pihak terus memberikan komitmen dan bekerjasama dalam memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan dengan baik,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua petugas dan jentera supaya sentiasa menjaga disiplin, mengamalkan sikap profesional serta mematuhi undang-undang pilihan raya dan segala peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, semangat kerjasama, kesepaduan dan disiplin merupakan elemen penting dalam memastikan kelancaran setiap gerak kerja pilihan raya.
Pelancaran bilik gerakan itu sekali gus memperlihatkan kesiapsiagaan jentera GPS Bukit Begunan untuk menggerakkan kempen secara tersusun menjelang PRN13.
Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), Kaunselor Mathew Igoh, barisan Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda PRS Bukit Begunan, wakil parti komponen GPS, penyokong serta penduduk setempat.
Oleh Adi Safarman



