SARATOK, 27 Nov: Kira-kira 1,500 penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka hadir memberikan sokongan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) esok bagi menyatakan sokongan terhadap calon parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Kalaka.
Penyandang kerusi DUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, persiapan akhir menghadapi hari penamaan calon telah dibincangkan menerusi perjumpaan bersama ketua-ketua ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi Cawangan N.38 Kalaka yang diadakan petang tadi.
Menurut beliau, pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada penyelarasan gerak kerja serta strategi kempen bagi memastikan jentera parti berada dalam keadaan bersedia menghadapi PRN13.
“Alhamdulillah, pada petang tadi saya telah mengadakan perjumpaan bersama ketua-ketua ranting PBB bagi Cawangan N.38 Kalaka bagi membuat persediaan terakhir untuk penamaan calon esok serta membincangkan kempen PRN13,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan seluruh ahli parti komponen GPS supaya mengamalkan pendekatan kempen secara berhemah, matang dan bertanggungjawab sepanjang tempoh pilihan raya.
Katanya, semua jentera parti perlu mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Saya turut mengingatkan agar ahli-ahli parti GPS berkempen secara berhemah dan mengelakkan provokasi bagi mengelak suasana yang tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran kira-kira 1,500 penyokong GPS esok dijangka melibatkan Pergerakan Sayap Bapa, Pergerakan Sayap Wanita, Pergerakan Sayap Pemuda serta Sayap Belia 1828 PBB Cawangan N.38 Kalaka.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Duri turut menzahirkan harapan agar segala urusan jentera parti dipermudahkan menjelang hari penting itu.
“Ya Allah, permudahkanlah urusan kami dan janganlah Engkau persulitkan. Ya Allah, sempurnakanlah ia dengan kebaikan,” katanya.
Persiapan tersebut memperlihatkan kesungguhan jentera GPS di DUN Kalaka dalam memastikan kelancaran gerak kerja parti menjelang PRN13, dengan penekanan terhadap disiplin, perpaduan dan kempen yang berlangsung dalam suasana aman.
Oleh Adi Safarman



