SIMANGGANG, 27 November: Bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel (B) Mohd Melintang Abdullah @ Melintang Milet mengambil keputusan menawarkan diri sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Bukit Begunan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13).
Keputusan itu dibuat selepas beliau tidak terpilih sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi berkenaan, meskipun telah sekian lama turun padang dan mendekati masyarakat di kawasan Bukit Begunan.
Dalam kenyataan medianya, Mohd Melintang berkata, beliau menerima dan menghormati keputusan kepimpinan GPS, namun pengalaman bertemu masyarakat serta mendengar sendiri pelbagai keluhan rakyat mendorongnya untuk meneruskan perjuangan melalui saluran demokrasi.
“Selepas mempertimbangkan pandangan keluarga, sahabat, Jentera Sayau Bukit Begunan dan masyarakat yang terus meminta saya membawa suara mereka, saya membuat keputusan untuk menawarkan diri sebagai calon Bebas bagi N.31 Bukit Begunan.
“Keputusan ini bukan kerana dendam, bukan kerana marah kepada mana-mana individu dan bukan untuk bermusuh dengan GPS atau kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau yang merupakan anak jati Selanjan Sebemban, Sungai Lensat dalam DUN Bukit Begunan berkata, antara isu yang sering dibangkitkan masyarakat sepanjang pertemuannya dengan penduduk ialah bekalan air bersih, kemudahan jalan raya, akses ke kawasan pedalaman, pendidikan, ekonomi keluarga serta peluang untuk generasi muda.
Menurutnya, Bukit Begunan memerlukan pembangunan lebih tersusun, inklusif dan mempunyai sasaran yang jelas supaya kemudahan asas serta peruntukan pembangunan dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh.
“Saya lahir daripada masyarakat ini. Saya membesar dalam suasana rumah panjang dan memahami sendiri kehidupan serta cabaran masyarakat luar bandar.
“Saya bukan datang ke kawasan ini hanya apabila musim pilihan raya tiba,” ujarnya.
Dari sudut latar belakang, Mohd Melintang merupakan bekas pegawai kanan ATM yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ketenteraan, keselamatan dan tugasan antarabangsa.
Beliau ditauliahkan ke Kor Rejimen Renjer Diraja pada 21 Disember 1978 selepas menjalani latihan kadet di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Sepanjang 36 tahun perkhidmatannya, beliau turut terlibat dalam beberapa misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk di Liberia pada 1996, Ethiopia-Eritrea pada 2006 dan Darfur pada 2008.
Beliau turut ditugaskan sebagai Pegawai Perhubungan Tentera PBB kepada Kesatuan Afrika dari 2009 hingga 2012 sebelum menamatkan perkhidmatan dalam ATM pada 21 Disember 2014.
Dari segi akademik, beliau memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam bidang Pentadbiran Korporat daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 2004.
Selepas bersara daripada perkhidmatan tentera, beliau turut berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan Unimas.
Beliau juga aktif dalam kepimpinan persatuan veteran tentera dan kini dikenali sebagai Presiden Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR).
Pengalaman serta sumbangan beliau dalam bidang ketenteraan turut didokumentasikan menerusi buku Agi Idup Agi Ngelaban: Naratif Pejuang-Pejuang Paramilitari dan Rejimen Renjer Diraja, yang diterbitkan oleh Unimas.
Mengulas pendekatan politiknya, Mohd Melintang menegaskan keputusan menawarkan diri sebagai calon Bebas bukan bermaksud beliau mahu menentang atau memusuhi GPS dan kerajaan Sarawak.
Sebaliknya, beliau tetap menghormati kepimpinan kerajaan negeri serta menyokong dasar dan pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat.
Beliau turut berpendirian untuk menjalankan kempen secara bersih tanpa mencemarkan nama atau memfitnah mana-mana calon, sama ada menerusi kain rentang, sepanduk mahupun media sosial.
“Saya mahu bertanding dengan bersih, berkempen dengan beradab dan berbeza tanpa bermusuh.
“Apa pun keputusan rakyat nanti, kita tetap jiran, saudara, kaban belayan dan masyarakat Bukit Begunan yang akan terus hidup bersama,” katanya.
Beliau turut mengajak pengundi menilai setiap calon berdasarkan latar belakang, pengalaman, rekod perkhidmatan, cara bekerja serta perancangan yang dibawa untuk kawasan berkenaan.
“Saya menawarkan pengalaman. Saya menawarkan khidmat. Saya menawarkan perancangan.
“Keputusan akhirnya milik rakyat N.31 Bukit Begunan,” katanya.
Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai senarai calon yang bertanding di kerusi N.31 Bukit Begunan hanya akan diketahui selepas proses penamaan calon yang dijadualkan berlangsung esok selesai.
Perkembangan itu bakal menjadi antara perhatian dalam persaingan politik PRN13, khususnya bagi pengundi Bukit Begunan yang akan menentukan wakil pilihan mereka untuk penggal akan datang.
Oleh Adi Safarman




