MIAMI: Lionel Messi menjaringkan gol penyamaan ketika Inter Miami terikat 1-1 di laman sendiri menentang Charlotte FC dalam saingan Major League Soccer.
Walaupun seri untuk kali ketiga berturut-turut, Miami – yang sudah mengesahkan tempat di playoff – kekal mendahului Eastern Conference dan Supporters Shield.
Charlotte, kendalian bekas bos Aston Villa, Dean Smith, mendahului permainan pada minit ke-57 apabila rembatan leret Brandt Bronico terkena Karol Swiderski dan menewaskan penjaga gol Miami, Drake Callender.
Miami hampir kembali menyamakan kedudukan apabila hantaran Jordi Alba menemui Messi, namun tandukan pemain Argentina itu tepat ke dakapan penjaga gol, Kristijan Kahlina.
Penjaga gol Croatia itu sekali lagi menafikan Messi dengan menyelamatkan rembatan dari luar kotak penalti bintang Miami berkenaan.
Bagaimanapun Messi akhirnya memecah kebuntuan dengan meledak gol ke-15 dalam 15 perlawanan untuk Miami musim ini.
Miami kini mengumpul 65 mata dengan tiga perlawanan berbaki musim ini. Columbus Crew di tangga kedua pada 57 mata dan Cincinnati, 56.
Miami boleh menjuarai Supporters’ Shield dengan menang atau seri menentang Columbus pada Rabu. – AFP