LIMBANG: Satu kajian sedang dijalankan bagi mengenal pasti kawasan di Batu Danau yang berdepan masalah liputan telekomunikasi.
Ini termasuk menara yang tidak berfungsi untuk diajukan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang berkata masih terdapat beberapa kawasan di Batu Danau yang tidak mempunyai liputan internet meskipun banyak menara telekomunikasi sudah di dirikan.
“Kita telah menerima surat dari SDEC dan SMA supaya kita mengadakan kajian bagi kawasan dalam Batu Danau dengan menghantar borang soal selidik kepada ketua-ketua kampung dan tuai-ruai rumah untuk memaklumkan apakah tahap perkhidmatan yang diterima.
“Borang soal selidik adalah berkaitan data menggunakan telefon dan liputan internet yang diterima ataupun belum ada diterima langsung.
“Jadi kita sedang mengadakan kajian ini dan kita akan memberi maklum balas kepada yang pihak berwajib supaya masalah ini dapat selesaikan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Hari Keluarga Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Batu Danau di Kampung Bukit Gudang di sini hari ini.
Hadir sama wakil Setiausaha Agung SABERKAS Negeri Iszuan Haron.
Paulus menjelaskan kajian itu akan dijalankan selama dua minggu dengan menyerahkan borong soal selidik kepada ketua-ketua kampung untuk mendapatkan maklumat mengenai masalah telekomunikasi di kawasan masing-masing.
Katanya, banyak menara telah didirikan tetapi sebahagiannya belum ada penyediaan perkhidmatan dan pemasangan peralatan.
Beliau berkata melalui kajian itu nanti, pihaknya akan dapat mengenal pasti mana menara telekomunikasi yang tidak berfungsi dan ada masalah.
Oleh ADENG EDRUS