PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan beliau tidak kisah jika The Reds menjulang trofi Liga Perdana di luar Anfield.
Beberapa perlawanan dijangka berlangsung di venue berkecuali bagi memenuhi syarat ‘Project Restart’ dan penyambungan kembali liga bermula 17 Jun.
Semua aksi berlangsung dalam stadium tertutup bermakna Reds tidak dapat meraikan kejuaraan bersama penyokong mereka.
Tetapi spekulasi terkini memberi bayangan Liverpool mungkin juga tidak dapat menjulang trofi di Anfield apabila baki perlawanan mereka di venue berkecuali bagi mengelakkan kehadiran penonton.
Bagaimanapun, Klopp menegaskan ia tetap bakal menjadi hari paling indah buat Liverpool yang semakin pasti menamatkan kemarau kejuaraan liga dalam tempoh 30 tahun walaupun bukan di Anfield.
“Bagi saya, walaupun dalam stadium kosong, kami tetap diiringi doa dan semangat daripada semua peminat di seluruh dunia, jadi ia akan menjadi detik indah dalam hidup saya,” kata pengendali dari Jerman itu kepada beIN Sports.
“Bila dan di mana saya tak tahu, kami berharap dapat raikan di Anfield tetapi ia tidak penting.”
Klopp masih berharap perlawanan dapat berlangsung di venue mereka dan menggesa penyokong kekal di rumah ketika meraikan kejayaan Reds.
“Saya dengar kami mempunyai penyokong tuan rumah terbaik di dunia dan sekarang kami perlukan penyokong tinggal di rumah yang terbaik di dunia,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Konstabel, Mark Roberts berkata, lebih enam perlawanan mungkin dipindahkan selepas permohonan daripada pasukan polis tempatan.
Ia termasuk pertembungan Merseyside begitu juga perlawanan Manchester City berdepan Liverpool.
Roberts berkata, perbincangan bersama Liga Perdana mendapat maklum balas positif dengan tumpuan bersama adalah keutamaan kepada kesihatan awam.
Saingan Liga Perdana dijadualkan kembali bersambung pada 17 Jun ini bergantung kepada kelulusan kerajaan.
Perlawanan yang dijadualkan berpindah ke venue berkecuali turut membabitkan Manchester City menentang Newcastle, Manchester United berdepan Sheffield United, Newcastle lawan Liverpool dan Everton menentang Liverpool
Ia turut membabitkan aksi yang mengesahkan kejuaraan EPL bagi Liverpool.
“Kami telah mencapai kata sepakat untuk mengimbangkan keperluan dalam bola sepak, ketika meminimumkan permintaan terhadap aspek keselamatan,” kata Roberts.
Liverpool memburu kejuaraan pertama Liga Perdana dalam tempoh 30 tahun, memacu selesa di puncak carta liga dengan kelebihan 25 mata serta sembilan baki perlawanan untuk ditamatkan.-AFP