SEPANG, 4 Oktober: Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen meneruskan sentuhan magisnya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila meraih kemenangan sulung musim ini selepas menjuarai Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Malaysia.
Kejayaan itu menyaksikan juara dunia empat kali berkenaan kembali mengukir kemenangan di SIC, sembilan tahun selepas menjuarai GP Malaysia terakhir pada 2017, dalam perlumbaan penuh dramatik yang tertangguh akibat hujan lebat.
Pendahulu kejuaraan Kimi Antonelli dari Mercedes-AMG Petronas menamatkan perlumbaan di tempat kedua, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam carta keseluruhan selepas rakan sepasukannya George Russell terpaksa menarik diri pada penghujung perlumbaan ketika berada di kedudukan ketiga.
Situasi itu membuka ruang kepada juara dunia tujuh kali dari Ferrari, Lewis Hamilton, untuk meraih podium ketiga selepas bermula di petak kedua, manakala rakan sepasukannya Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat keempat di depan rakan sepasukan Verstappen, Isack Hadjar, yang menduduki tempat kelima.

Perlumbaan yang dijadual bermula pada 3.00 petang terpaksa ditangguhkan selama 93 minit susulan hujan lebat dan takungan air di permukaan litar.
Selepas pusingan formasi dimulakan pada 3.40 petang, bendera merah dikibarkan dan prosedur permulaan perlumbaan digantung mengikut arahan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Beberapa pelumba turut berdepan masalah ketika itu termasuk Hamilton yang mengalami gangguan perisian sehingga juara dunia tujuh kali berkenaan dipintas beberapa jentera.
Kesemua pelumba kemudian kembali ke pit sementara menunggu perlumbaan disambung semula.
Sebaik perlumbaan bermula, pelumba Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team Kimi Antonelli yang bermula dari petak ketiga melakukan permulaan cemerlang untuk merampas kedudukan pendahulu daripada Verstappen, yang bermula di petak utama.
Rakan sepasukan Antonelli, George Russell, turut mempamerkan permulaan hebat apabila melonjak dari petak ketujuh ke kedudukan kedua sebelum dipintas Verstappen pada pusingan keenam.

Hamilton pula melalui permulaan sukar apabila merosot ke kedudukan ke-10 meskipun memulakan perlumbaan dari petak kedua.
Kereta keselamatan dikerahkan pada pusingan kesembilan selepas pelumba Cadillac Valtteri Bottas terbabas dan tersadai di perangkap batu kerikil.
Selepas kereta keselamatan meninggalkan litar, Verstappen, 29, tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan sebelum memintas Antonelli bagi merampas kedudukan pendahulu.
Pelumba Belanda itu, yang kali terakhir mencatat kemenangan pada GP Abu Dhabi 2025 pada Disember lepas, kemudian terus memperkukuh kedudukannya dengan membuka jurang 10 saat di hadapan Antonelli pada pusingan ke-33, ketika Hamilton berjaya melonjak ke tempat kelima.
Bagaimanapun, kereta keselamatan sekali lagi dikerahkan selepas pelumba Williams Alex Albon mengalami masalah kotak gear sehingga terpaksa memberhentikan jenteranya berhampiran penghadang, sebelum sebuah kenderaan penunda digunakan untuk mengalihkan jentera berkenaan.

Drama berterusan apabila jentera Russell terhenti berhampiran laluan keluar pit ketika perlumbaan berbaki lima pusingan, namun Verstappen kekal tenang di hadapan hingga ke garisan penamat untuk menafikan Antonelli kemenangan kesembilannya musim ini.
Hamilton, yang memburu Hadjar hampir sepanjang perlumbaan, akhirnya berjaya memintas pelumba Perancis-Algeria itu pada pusingan ke-53 untuk melonjak ke kedudukan ketiga, sekali gus melengkapkan podium.
Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober susulan persetujuan antara Formula 1, FIA serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
SIC sebelum ini menjadi gelanggang GP Malaysia dari 1999 hingga 2017.- Bernama




